M Update, 2/7/2019 – Perjalanan kerjaya Datuk Seri Abdul Hamid Bador ke puncak pasukan Sang Saka Biru penuh berliku. Kelantangan dan keberanian beliau dalam memperkatakan mengenai isu 1Malaysia Development Berhad menyebabkan Abdul Hamid ‘terbuang’ daripada pasukan polis yang sudah 40 tahun menjadi darah dagingnya.
Namun tiada siapa pernah menyangka, anak konstabel itu yang pernah ‘jatuh’ kini menduduki kerusi nombor satu pasukan keselamatan sebagai Ketua Polis Negara ke-12. Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin, Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian, Zamri Rambli dan wartawan meja Jenayah, Nurulatiq Ahmad Bandi serta Muhammad Afham Ramli menemubual Abdul Hamid secara eksklusif di Bukit Aman, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam temu bual itu, Hamid bercerita mengenai pelbagai perkara termasuklah kontroversi pelantikannya, cita-cita dan perjuangan memartabatkan pasukan polis di mata rakyat.
Datuk Seri telah sekitar 55 hari menjadi Ketua Polis Negara dan apabila dilantik ke jawatan tertinggi itu tentu Datuk Seri ada cita-cita. Apakah cita-cita berkenaan?
HAMID: Cita-cita saya untuk mengembalikan imej PDRM (Polis Diraja Malaysia) ke tahap yang tinggi. Dengan tercapainya cita-cita saya bermakna masyarakat akan mendapat khidmat yang terbaik daripada PDRM.
Saya ingin mewujudkan satu pasukan PDRM yang berkhidmat dengan penuh rasa tanggungjawab menegakkan undang-undang supaya dapat mewujudkan persekitaran yang selamat bagi kebaikan negara. Apabila PDRM mendapat keyakinan daripada masyarakat dan undang-udang dilaksanakan dengan telus adil ia akan memberi ruang mewujudkan suasana yang cukup baik bagi semua orang baik rakyat mahupun pekerja asing yang cari rekezi, pelancong yang datang menikmati keindahan negara dan juga pelabur-pelabur asing.
Saya nak memberikan mereka keyakinan apabila kita ada sebuah pasukan polis yang dinamik, berwibawa maka secara automotik lebih ramai pelabur dan pelancong datang ke sini.
Sebelum Datuk Seri menjadi Ketua Polis Negara, selama beberapa dekad Datuk Seri menjadi pegawai polis dari peringkat bawah sehingga naik ke atas. Apakah yang Datuk Seri lihat dari segi kekuatan PDRM dan kelemahannya?
HAMID: Kekuatan PDRM yang saya lihat ramai tenaga kerja PDRM yang sebenarnya baik-baik belaka. Mempunyai ciri yang baik dalam diri. Berlaku kelemahan selama ini dari sudut penyeliaan pegawai atasan untuk menyelia dengan baik pegawai pangkat rendah ini. Ia menyebabkan ramai yang tersasar untuk melakukan pelbagai kesalahan. Dan dalam kalangan pegawai-pegawai atasan juga memang terdapat mereka yang cuai yang tidak melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai penyelia untuk memastikan bahawa warga kerja PDRM ini dapat berkhidmat dengan penuh disiplin dan melaksanakan kewajipan mereka dengan sifat-sifat manusiawi.
Jadi itulah yang saya lihat. Kekuatannya adalah sebenarnya pada asasnya 100,000 lebih warga PDRM adalah baik-baik. Mereka telah diberikan latihan yang cukup di pusat latihan, diberikan ilmu dilatih dengan disiplin tertentu untuk melaksanakan tanggungjawab mereka, tetapi kemudian wujud kelemahan-kelemahan yang saya sebutkan ini, penyeliaan yang hampir tidak ada, kecuaian pegawai atasan yang gagal memainkan peranan mereka. Itu menyebabkan ramai yang terpalit dengan salah laku disiplin dan ramai juga yang terjerumus ke alam penjenayah.
Boleh Datuk Seri jelaskan sebagai contoh kes tersasar dan cuai tadi?
HAMID: Kita dapat lihat bukan sejak sebulan dua ini, tapi sejak tahun-tahun yang dulu dilaporkan dalam media sendiri, bagaimana ramai pegawai pangkat rendah dan pegawai kanan polis yang telah diheret ke mahkamah didakwa dalam pelbagai salah laku dan kesalahan ada yang merompak, membunuh ada yang terlibat dengan dadah rasuah, jadi banyak penglibatan yang berlaku.
Itu yang dapat ditangkap, yang tak dapat ditangkap yang menjadi sebutan orang ramai sekarang sejak akhir-akhir ini, memang banyak rungutan orang yang mengatakan polis ni sudah jauh terpesong daripada peranan dan tanggungjawab yang mana cakap-cakap di belakang mengatakan hampir keseluruhannya mengamalkan rasuah. Jadi itulah yang berlaku sebenarnya. Memang ada berlaku banyak kes yang jelas menunjukkan bahawa sesuatu yang tidak betul yang tidak kena dengan perjalanan PDRM.
Dalam organisasi yang besar ini lebih daripada 100,000 orang anggota dan pegawai, bagaimana Datuk Seri hendak membersihkan PDRM?
HAMID: Pada saya ia perkara mudah, sebab saya amat optimis, saya berkeyakinan bahawa apa juga misi dan visi saya untuk mengembalikan PDRM pada kedudukan yang sepatutnya imej yang baik. Sebab saya dah sebutkan tadi bahawa pada asasnya mereka ini baik. Jadi bukannya mereka keluar dari pusat latihan itu dengan dilatih untuk melakukan jenayah ataupun sebelum mereka menyertai latihan dan pasukan ini mereka ini terdiri daripada penjenayah tegar di luar. Itu membuatkan kerja saya senang dan saya sekarang melibatkan barisan pucuk pimpinan tertinggi Timbalan KPN dan pengarah-pengarah ini dalam interaksi saya.
Setiap minggu bersama dengan mereka jelas terbayang bahawa mereka ikhlas untuk membantu menjayakan wawasan saya. Sebab itu sejak akhir-akhir ini banyak kejayaan yang luar biasa yang dicapai oleh jabatan-jabatan di bawah PDRM. Contohnya penangkapan dan rampasan rokok-rokok seludup arak-arak seludup oleh Polis Marin dan juga oleh Pasukan Gerakan Am di sepanjang pantai dari Sabah Sarawak dan Semenanjung.
Bagi pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) gerakan menggempur premis judi dan maksiat berjalan sampai letih anak buah saya. Untuk mengesan dan menangkap ini senang dan mudah tapi tindakan susulan dari sudut undang-undang yang perlu dipenuhi itu yang remeh sikit, makan waktu. Jadi lebih banyak kes berjaya, tindakan operasi itu berjaya dilaksanakan bertambah berat kerja susulan yang mereka perlu ambil untuk diselesaikan sebab tindakan mereka menangkap, merampas sebenarnya bukan untuk nak cuci mata sahaja. Matlamatnya adalah untuk membawa semuanya ke muka pengadilan.
Jadi Datuk Seri rasa perubahan sikap pegawai dan anggota bukan perubahan sikap untuk sementara?
HAMID: Banyak perubahan sikap yang berlaku dalam kalangan anggota dan pegawai dan saya yakin ia bukan untuk sementara, saya nampak keikhlasan di pihak mereka dan ramai antara pegawai di bawah ini yang tahu nombor telefon saya secara diam-diam menghantar WhastApp menyokong tindakan ini dan mengharapkan saya sendiri agar jangan hangat-hangat tahi ayam sahaja. Mereka minta saya sebagai ketua untuk terus berikan penekanan dan mereka di bawah sanggup meneruskan sehingga ke akar umbi.
Jadi kejayaan banyak, macam ke atas kumpulan warga Nigeria yang membawa budaya songsang yang terlibat dengan jenayah love scam dan money scam ini berjaya dirungkai dan ditangani oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial. Di pihak daerah dan kontinjen pula serbuan demi serbuan dilakukan contohnya di kontinjen Selangor penempatan warga Nigeria yang memang disyaki menjalankan kegiatan jenayah love scam dan money scam dan sindiket dari negara China.
Maklumat daripada orang ramai memang banyak, mencurah-curah masuk tetapi kita ada kekangan dari sudut kemampuan nak menjalankan tindakan itu segera disebabkan kita mesti menyelesaikan kes satu demi satu kerana sekiranya tidak kita takut nanti dia tak sampai ke penghujungnya.
Sumber : SH Online