M Update, 8/7/2019 – Kementerian Kesihatan menyambut baik inisiatif syarikat insurans di negara ini menawarkan polisi perlindungan insurans untuk penyakit berkaitan mental bagi mengurangkan beban kos pembiayaan pesakit berkenaan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata kementerian berbesar hati kerana syarikat insurans sudah mengambil tindakan yang bagus terhadap cadangan kerajaan untuk menyediakan perlindungan insurans bagi pesakit yang mengalami sakit mental. Katanya, langkah yang diambil oleh syarikat insurans itu seiring dengan amalan yang sudah dilaksanakan di negara lain termasuk Singapura.
Industri insurans pada lazimnya hanya memberi perlindungan kepada pesakit mengalami masalah mental yang serius, yang mana tidak ada sebarang pertikaian untuk dikenal pasti. Mereka sediakan perlindungan bagi pesakit yang mengalami kemurungan, gangguan bipolar, skizofrenia, Tourette serta gangguan obsesif kompulsif dan Alzheimer. Namun, ada juga yang sudah lama diberi perlindungan insurans iaitu Dementia (nyanyuk),” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Gopeng di Bandar Cyber, semalam.
Dr Boon Chye yang juga Ahli Parlimen Gopeng, berkata pengambilan insurans bagi merawat pesakit mental bergantung kepada pilihan individu, namun polisi insurans yang ditawarkan lebih menumpukan terhadap mengurangkan beban untuk rawatan pesakit mental. Beliau berkata kementerian memandang serius terhadap kesihatan mental kerana ia adalah masalah yang serius di negara ini dan bagi menanganinya, pesakit mental memerlukan sokongan keluarga dan masyarakat.
Kita menekankan pembabitan masyarakat dalam rawatan serta pemulihan pesakit mental dan kementerian ada menyediakan rawatan di hospital selain klinik kesihatan yang boleh bantu beri rawatan manakala di hospital ada pakar psikatri. Selain itu, kita ada juga mengadakan program Mentari membabitkan pesakit mental dan masyarakat untuk membuat kegiatan bersama supaya pesakit boleh berbakti kepada masyarakat,” katanya. – BH Online