M Update, 8/7/2019 – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berangkat menyempurnakan perasmian Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak di Meru Raya, di sini, hari ini.
Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut berkenan berangkat. Turut sama berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah dan Raja DiHilir Perak; Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah. Terdahulu, ketibaan Sultan Nazrin dan Tuanku Zara pada jam 9.40 pagi disambut Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan isteri, Datin Seri Dr Nomee Asyikin Mohd Radzi.
Sultan Nazrin kemudian berkenan memeriksa barisan kawalan hormat dibarisi seramai dua pegawai dan 99 anggota diketuai Penguasa Kanan Bomba II Mohd Elyas Hussain. Aturcara majlis diteruskan dengan pertunjukan demonstrasi kebombaan oleh 100 anggota Pasukan Khas, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) yang mempamerkan gerak kerja berpasukan dan kemahiran anggota menangani situasi kecemasan.
Sultan Nazrin kemudian membacakan lafaz perasmian dan menyembunyikan siren sebagai simbolik perasmian sebelum menandatangani plak perasmian. Pada majlis berkenaan, baginda yang diiringi Tuanku Zara serta tetamu kehormat turut melawat tapak pameran. Sementara itu, Zuraida dalam ucapannya pada majlis itu berkata bangunan dengan kos keseluruhan RM17.5 juta itu mula dibina di atas tanah seluas 3.85 hektar pada 12 September 2011 dan disiapkan pada 25 April 2016.
Beliau berkata, selain dilengkapi blok pentadbiran, bangunan ibu pejabat itu turut mempunyai dewan serbaguna, stor logistik, pondok pengawal, rumah sampah, rumah pam dan tempat letak kereta. Katanya, kelengkapan moden dan teknologi canggih serta persekitaran yang kondusif di bangunan itu dapat menyuntik kreativiti, inovasi serta budaya kerja berprestasi tinggi dalam kalangan pegawai dan anggota.
Pada sidang medianya kemudian, Zuraida berkata bangunan berkenaan adalah Kategori A dengan kekuatan kira-kira 200 pegawai dan anggota. Katanya, bangunan atau balai bomba Kategori A dibina di kawasan yang mempunyai risiko indeks kebakaran tinggi seperti di Kuala Lumpur.
Selain itu, 14 balai bomba kategori E iaitu yang menempatkan pegawai bomba bantuan, bomba sukarela di kawasan pedalaman serta terpencil akan dibina di seluruh negara tahun hadapan dengan 10 daripadanya di Semenanjung, manakala masing-masing dua di Sabah dan Sarawak. -BH Online