Input your search keywords and press Enter.

JPN Nafi Terbabit Projek IC 2.0 Di Sabah

M Update, 12/7/2019 – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan sekeras-kerasnya pembabitan dalam Projek Kad Pengenalan 2.0 di Sabah seperti ditularkan pihak tidak bertanggungjawab di media sosial baru-baru ini.

JPN dalam satu kenyataan memaklumkan resit urusan pendaftaran kad pengenalan yang disebarkan adalah bukan resit rasmi dikeluarkan atau digunakan jabatan itu bagi urusan pendaftaran kad pengenalan.

“JPN tidak pernah melantik mana-mana agen atau orang perseorangan untuk mewakili jabatan ini dalam apa-apa urusan. Semua resit rasmi hanya dikeluarkan kepada pelanggan yang mempunyai urusan di kaunter JPN dan tidak sewenang-wenangnya diedarkan kepada orang ramai.

Kita juga memandang serius isu ini yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu dengan menjalankan siasatan lanjut terhadap perkara terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Berikutan itu, JPN meminta orang ramai tidak mempercayai dan menyebarkan maklumat palsu berkenaan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan gangguan ketenteraman awam.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan sebarang maklumat lanjut mengenai sebarang urusan dinasihatkan menghubungi mana-mana pejabat JPN atau layari laman web rasmi JPN, www.jpn.gov.my

Maklumat lanjut juga boleh diperolehi dengan menghubungi Unit Komunikasi Korporat, JPN ditalian 03-8880 7077/7067/7069/8206 atau emel ke pro@jpn.gov.my – Bernama

Leave a Reply