M Update, 19/07/2019 – Lapan murid antara sembilan penumpang yang maut selepas trak dinaiki terbalik ketika dalam perjalanan menghadiri acara sukan di Filipina tengah, hari ini.
Datuk Bandar, Merlou Derama memberitahu AFP brek trak itu gagal berfungsi ketika menurun jalan di kawasan pergunungan berhampiran bandar Boljoon.
Menurut Derama, trak terbabit membawa kira-kira 30 murid yang ditemani beberapa ibu bapa dan guru.
“Pemandu cuba memperlahankan trak dengan menggeselkan sisi kenderaan itu pada gunung, namun hilang kawalan dan terbalik,” katanya.
Mangsa yang maut di tempat kejadian adalah tiga murid perempuan dan lima lelaki berusia antara 11 dan 12 tahun serta seorang wanita, manakala lima murid cedera.
Derama berkata, pihak berkuasa tempatan meminjam trak itu kepada sekolah di kawasan pedalaman untuk membawa atlit menghadiri temasya sukan di Boljoon.
Polis akan meminta pendakwa raya memfailkan pertuduhan pembunuhan beramai-ramai terhadap pemandu trak yang tidak mengalami sebarang kecederaan.