M Update, 25/07/2019 – Pihak berkuasa Russia menahan seorang bapa yang disyaki sering merantai anak lelakinya selama beberapa hari dengan tidak diberi makan dan minum sebagai hukuman kerana nakal.
Tindakan lelaki itu terbongkar selepas mangsa yang berusia 10 tahun berjaya melarikan diri dan pergi ke sebuah kedai di kampung Velikovechnoye di wilayah Krasnodar untuk membeli makanan.
Bagaimanapun, pekerja kedai itu terkejut apabila melihat leher mangsa yang dikenali sebagai Tikhon diikat dengan rantai besi lengkap dengan mangga kunci.
Tikhon berkata, dia dikurung di dalam stor kerana bapanya menemani ibu tirinya melahirkan anak di hospital dan dia berjaya melarikan diri selepas mematahkan kayu tempat di mana rantai itu diikat.
Selepas mendengar cerita kanak-kanak itu, pekerja itu menghubungi polis dan bomba untuk memotong rantai besi pada leher mangsa.
Ketika disoal siasat polis, Tikhon memberitahu dia sering dirantai bapanya di stor bawah rumah dan pemanas di rumahnya untuk tempoh lama serta tidak diberi makan.
Tikhon kemudian dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum ditempatkan di rumah perlindungan dan hak penjagaannya dijangka diberikan kepada ibu kandungnya.
Bapa Tikhon yang juga seorang ahli perniagaan ketika disoal siasat polis mendakwa anaknya mereka cerita dan dia sengaja merantai dirinya.