M Update, 5/8/2019 – Seorang lelaki ditahan kerana memiliki pelbagai jenis dadah bernilai RM1.14 juta dalam serbuan di daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Rabu lalu.
Suspek berusia 54 tahun itu ditahan di rumah sewanya dalam Ops Ice Breaker dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah SPT, kira-kira jam 2.30 petang. Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik, berkata lelaki terbabit ditahan di luar rumahnya selain polis turut menemui 78.6 gram (g) dadah jenis heroin di pekarangan kediamannya.
Beliau berkata, pemeriksaan di dalam rumah suspek turut menemui dadah jenis syabu seberat 15.3 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM760,120 yang disorok di belakang altar (tempat pemujaan bagi ibadat). Kita juga menemui sebanyak 12,650 pil ekstasi dianggarkan bernilai RM379,500 yang disorok di tingkat atas rumah suspek, sekali gus menjadikan nilai keseluruhan berjumlah RM1.14 juta.
Sebuah kereta jenis Audi A6 dianggarkan bernilai RM80,000 turut disita, selain ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu. Dia didapati memproses sendiri dadah terbabit selain bergerak secara solo dan memiliki sembilan rekod jenayah lampau. Suspek kini direman selama tujuh hari hingga lusa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.
Dalam pada itu, Roslee berkata, seramai 580 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam Ops Ice Breaker yang dijalankan di seluruh negeri sejak Selasa lalu. Katanya, tangkapan itu masing-masing membabitkan 308 individu positif dadah; memiliki dadah (189); bekalan dadah (48); dalam senarai dikehendaki (28) dan ADB (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 (7).
Pelbagai dadah turut dirampas, masing-masing syabu seberat 15.64kg; pil ekstasi (12,652 biji); heroin (281.98g); ganja (1.17kg); Eramin 5 (201 biji); ketamin (0.7g); air ketum (20.95 liter); daun ketum (10kg) dan kodein (2.34 liter), membabitkan nilai keseluruhan sebanyak RM1.21 juta. Selain itu, seramai 8,112 individu, masing-masing 7,840 rakyat tempatan dan 272 warga asing ditahan kerana pelbagai kesalahan berkaitan dadah membabitkan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM10.06 juta, sejak 1 Januari hingga kelmarin,” katanya. – BH Online