M Update, 09/08/2019 – Sebuah mahkamah di Britain bakal menyaksikan perbicaraan perceraian termahal negara itu apabila seorang wanita menuntut satu pertiga daripada £15 bilion (RM76.15 bilion) harta suaminya yang juga jutawan Russia.
Lelaki kedua terkaya Russia, Vladimir Potanin berjaya mengenepikan tuntutan bekas isterinya dalam perbicaraan panjang di Moscow tetapi wanita itu kini membawa kes itu ke Britain.
Natalia Potanina, 58, yang tinggal di London selama beberapa tahun dijangka menggunakan hujah mendakwa sistem perundangan Russia berat sebelah terhadapnya dan memihak bekas suaminya yang berpengaruh.
Pasangan itu dilaporkan mempunyai tiga orang anak.
Kekayaan Potanin dianggarkan oleh Bloomberg berjumlah £15 bilion tetapi ahli perniagaan berusia 58 tahun itu memberitahu mahkamah di Moscow bahawa hartanya langsung tidak mencapai angka berkenaan.
Sumber di Russia memberitahu, Natalia bakal menuntut harta perceraian berjumlah £5.76 bilion (RM29.24 bilion) dalam perbicaraan di London.
Natalia kini menggunakan mahkamah di Britain bagi membuat tuntutan berkenaan terhadap bekas suaminya yang menjadi kaya raya dalam industri besi.
Natalia dalam satu temubual dengan Mail Online mendakwa Potanin meninggalkan, mengkhianati dan memalukannya selepas dia menjalinkan hubungan dengan pekerjanya yang 15 tahun lebih muda.