M Update, 29/08/2019 – Seramai tujuh orang maut ketika menyaksikan perlawanan bola sepak selepas air sungai di Tizert, Taroudant melimpah dan membanjiri padang di sebuah kampung, hari ini.
Pihak berkuasa berkata, mangsa termasuk seorang remaja lelaki berusia 17 tahun manakala selebihnya orang dewasa.
Seorang lelaki yang cedera dalam kejadian itu diselamatkan dan pasukan penyelamat masih mencari seorang mangsa yang hilang.
Menurut seorang penduduk kampung kepada AFP, sungai itu melimpah lalu membanjiri padang yang menjadi lokasi kejohanan bola sepak amatur.
Seorang saksi berkata, lapan lelaki yang berlindung di bilik persalinan dihanyut banjir.
“Semua orang terkejut. Saya berusia 64 tahun dan tidak pernah melihat kejadian seperti ini,” katanya.
Gambar dan video yang dikongsi di media sosial menunjukkan air lumpur menghanyutkan penduduk yang berada di atas sebuah bangunan ditenggelamkan oleh banjir.