M Update, 29/08/2019 – Pengawal sempadan Russia berjaya merampas lebih 4,000 kura-kura liar bernilai AS $117,000 (RM492,849) yang cuba diseludup keluar dari Kazakhstan, kata pihak berkuasa.
AFP melaporkan, penyeludup terbabit menggunakan treler untuk membawa 4,100 ekor kura-kura Asia Tengah yang juga spesies terancam melintasi sempadan ke wilayah Orenburg, Russia, kata kementerian dalam negeri.
Penyiasat kemudiannya menempatkan semua haiwan terbabit untuk dijaga oleh penuntut dan kakitangan sebuah kolej di Orenburg.
“Mereka akan membantu menjaga kura-kura ini sementara kami menyiapkan kertas siasatan,” kata Sergei Ryabtsov yang mengendalikan usaha menyelamatkan reptilia itu di Universiti Pedagogi Orenburg.
Universiti itu dikatakan mempunyai pengalaman dalam mengendalikan kura-kura seludup dan penuntutnya pernah memberi makan kepada lebih 8,000 kura-kura yang dirampas pada 2016.