M Update, 23/9/2019 – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi penerima sulung Anugerah Khas Kelestarian Canselor pada Upacara Konvokesyen Komemoratif sempena sambutan ulang tahun ke-50 Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.
Canselor USM, yang juga Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail berkenan menganugerahkan anugerah itu kepada Dr Mahathir berikutan sumbangan besar beliau kepada negara dan masyarakat global. Bagaimanapun, Perdana Menteri tidak dapat menghadiri upacara berkenaan berikutan mempunyai beberapa urusan rasmi lain.
Dr Mahathir dalam ucapannya menerusi tayangan video menyampaikan penghargaan dan menerima anugerah itu dengan rasa tanggungjawab serta penuh rasa insaf dan rendah diri.
“Patik merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih atas perkenan Tuanku menganugerahkan patik dengan Anugerah Kelestarian Canselor yang pertama kali diperkenalkan ini. Menerima anugerah ini tentunya secara peribadi amat bermakna kepada saya, terutamanya apabila ia adalah pengiktirafan oleh sebuah universiti yang telah mencapai usia 50 tahun,” katanya.
Dr Mahathir berkata, tempoh kejayaan USM yang ke-50 tahun ini seharusnya digunakan untuk menilai semula kejayaan dan kekurangan universiti, selain mencari formula serta strategi baharu bagi menetapkan hala tuju masa hadapan institusi itu.
Hala tuju itu harus berupaya mengekalkan dan memajukan universiti berkenaan sebagai penggerak kepada usaha transformasi pemikiran serta pendidikan untuk kelestarian hari esok. Hala tuju ini tidak seharusnya tinggal sebagai satu konsep dan falsafah pemikiran akademik semata-mata,” katanya. – BH Online