M Update, 26/9/2019 – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sistem antarabangsa ketika ini wujud dalam keadaan di mana tiada yang dapat dilakukan dunia bagi memaksa Indonesia menangani kebakaran hutan yang berleluasa yang mengakibatkan fenomena jerebu di kawasan tertentu Asia Tenggara.
Perdana Menteri turut menyamakan keadaan itu dengan kebakaran hutan yang berlaku di Brazil.
Sebagaimana anda semua tahu, Presiden Brazil yang baharu percaya kepada pembakaran hutan sebagai aktiviti untuk pertanian, dan tiada siapa boleh menghalang beliau setakat ini. Jadi, saya rasa sistem semasa tidak membenarkan kita untuk campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain.
“… Anda boleh salahkan Indonesia, anda boleh mengkritik mereka, tetapi mereka akan terus dengan pembakaran mereka,” katanya pada sesi dialog Forum Pemimpin Dunia yang berlangsung di Universiti Columbia, di sini, semalam.
Dr Mahathir ditanya sekiranya tindakan lebih keras seperti sekatan ekonomi atau menggunakan komuniti antarabangsa untuk berdepan dengan Indonesia, akan dapat membantu menangani masalah jerebu susulan keadaannya yang cukup serius.
Perdana Menteri berkata, akan tiba masanya nanti, pembakaran hutan menjadi teramat serius sehingga seluruh dunia diliputi jerebu. Ketika itu, saya rasa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mungkin akan berkata – ini bukan lagi hal dalaman negara semata-mata, ini sudah menjadi masalah dunia (untuk mengatasinya) dan dunia seharusnya melaksanakan hak mereka untuk mengambil tindakan.
“Sekiranya kita mempunyai pandangan sebegini, kemudian barulah kita boleh berbuat sesuatu apabila seseorang enggan menerima bantuan untuk memadamkan kebakaran misalnya,” katanya.
Dr Mahathir berkata, ketika ini, “PBB tidak dapat berbuat apa-apa, tapi kita perlu cuba memujuk”.
Katanya, beliau faham Indonesia juga menerima kesan jerebu yang serius, dan ini mungkin akan membawa kepada pendirian lebih tegas berhubung usaha mengawal kebakaran hutan di negara mereka. – BERNAMA