Input your search keywords and press Enter.

Kashmir Sudah Musnah

M Update, 26/09/2019 – Pasukan penyelamat dan orang ramai semalam, masih menggeledah runtuhan bangunan dan rumah akibat gempa bumi 5.8 magnitud yang melanda Kashmir tadbiran Pakistan kelmarin, menyebabkan 37 terbunuh manakala ratusan lagi cedera.

Selain meranapkan ratusan rumah dan kedai, jalan rata antara bandar Jhelum dan Mirpur di utara Pakistan itu turut rosak teruk. Kawasan gempa bumi itu termasuk dalam wilayah yang menjadi pertikaian antara Pakistan dengan India.

Menurut AFP, kawasan paling teruk terjejas ialah Mirpur dengan rumah tidak kukuh milik penduduk miskin runtuh manakala jalan raya dan jambatan rosak teruk.

Bagi penduduk yang rumah mereka ranap, hanya mampu melihat namun rumah yang masih berdiri tidak boleh dihuni dengan rekahan besar pada dinding atau ada dinding yang runtuh.

“Saya hilang rumah. Saya hilang semuanya,” kata Abdullah Khan melihat timbunan batu bata selepas rumah tiga bilik miliknya di perkampungan Jatlan, pinggir Mirpur, ranap sama sekali.

Pasukan penyelamat, termasuk anggota tentera Pakistan masih menggeledah runtuhan sebaik siang menjelma semalam dengan kebimbangan angka korban meningkat.

Pada sebelah pagi, pihak berkuasa menyatakan 19 terbunuh sebelum meningkat kepada 22 orang dan menjadi 37 mangsa pada sebelah petang.

Mirpur, bandar yang terkenal dengan kediaman mewah dan reka bentuk menarik mempunyai kaitan rapat dengan Britain kerana majoriti daripada 450,000 penduduknya memegang pasport Britain dan Pakistan.

Jalan raya sekitar Mirpur banyak yang rosak, malah ada yang musnah dengan kenderaan terbalik akibat gegaran gempa bumi cetek yang berlaku pada kedalaman 10 kilometer menyebabkan jambatan rosak, menara telefon bimbit tumbang dan bekalan elektrik terputus.

Gempa itu turut menggemparkan penduduk di Lahore dan Islamabad yang berlari keluar mencari perlindungan malam kelmarin.

Menurut laporan Press Trust of India, gegaran boleh dirasai sehingga New Delhi, India dan orang ramai yang panik berlari keluar ke jalan raya di Rajasthan, Punjab, dan Haryana.

Menurut Reuters, beberapa kanak-kanak, termasuk semuda setahun setengah dikebumikan semalam, terbunuh akibat ditimpa runtuhan rumah.

“Saya menerima panggilan telefon daripada bapa memberitahu ada gempa bumi dan adik perempuan saya cedera parah.

“Kini dia sudah tiada,” ratap Mohammad Hameed.

Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan Pakistan (NDMA), 25 disahkan terbunuh dan lebih 450 lagi cedera, sebahagian besarnya patah tulang akibat ditimpa runtuhan.

Ribuan penduduk tidur di luar rumah malam kelmarin, bimbangkan gegaran susulan.

Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, melalui Twitter mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan memberitahu sudah mengarahkan kerajaan menghantar bantuan segera.

Pengarah NDMA, Leftenan Jeneral Muhammad Afzal berkata, pihaknya sudah menyediakan 200 khemah besar untuk penempatan sementara selain set dapur, selimut dan 50,000 botol air.

Leave a Reply