M Update, 1/10/2019 – Polis Nigeria menyelamatkan 19 wanita hamil yang dipaksa melahirkan bayi untuk dijual dalam serbuan di beberapa lokasi di sini, baru-baru ini.
Jurucakap polis Lagos, Bala Elkana berkata, polis menerima maklumat risikan mengenai aktiviti sekumpulan individu yang mengurung wanita hamil dan menjual bayi.
“Selepas menjalani siasatan, polis berjaya menyelamatkan 19 wanita hamil dan empat bayi,” katanya.
Menurut Elkana, mangsa berusia antara 15 dan 28 tahun.
“Ada antara mangsa terpedaya dan menyangka mereka dibawa ke Lagos untuk bekerja,” katanya.
Pada 19 September lalu, polis melakukan serbuan ke atas tiga rumah dan sebuah hotel.
Polis turut menahan dua suspek dan mencari seorang lagi yang masih bebas.
Bayi perempuan dijual pada harga 300,000 naira (RM3,463), manakala bayi lelaki boleh mencecah 500,000 naira (RM5,772).