Input your search keywords and press Enter.

Rundingan Malaysia-Singapura positif

M-Update,5/3/2019, SEPANG: Rundingan di antara Malaysia dan Singapura yang bukan saja tertakluk pada isu perjanjian air tetapi juga isu lain, berlangsung positif, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah semalam. “Hari ini(semalam) ada mesyuarat perbincangan antara kedua-dua negara yang menyentuh pelbagai isu. Semua isu itu dibincangkan secara serentak dan bukannya hanya berkaitan perjanjian air semata mata.

“Setakat ini, Singapura belum ada menyatakan akan membawa isu ini ke Mahkamah Dunia. Perbincangan belum sampai ke tahap itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Sebelum ini, Saifuddin berkata, rundingan semakan semula harga air mentah dengan Singapura itu sudah diadakan sejak sebulan lalu.

Katanya, rundingan berkenaan dilakukan Peguam Negara, Tommy Thomas dengan peguam negara republik berkenaan dan beberapa pertemuan akan diadakan berhubung perkara terbabit.Terdahulu, isu berkaitan perjanjian itu muncul kembali pada pertengahan tahun lalu, apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan harga air mentah yang dijual kepada Singapura sebagai tidak masuk akal dan beliau bercadang merundingkan semula terma perjanjian itu.

Perjanjian air berkenaan berakhir pada 2061, memberi hak kepada Singapura untuk mendapatkan sehingga 250 juta gelen sehari (mgd) air mentah dari Sungai Johor.Singapura membayar 3 sen bagi setiap 1,000 gelen air mentah dan menjual semula air terawat kepada Johor pada harga 50 sen setiap 1,000 gelen.

Semalam, Dr Mahathir berkata, Singapura akan kalah jika membawa isu air ke mahkamah antarabangsa kerana harga tidak masuk akal yang dibayar bagi bekalan air mentah dari Malaysia.Perdana Menteri berkata, kedua-dua negara perlu berunding sebelum membawa pertikaian mereka ke Mahkamah Dunia (nama biasa bagi Mahkamah Keadilan Antarabangsa atau Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa).

Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura dalam kenyataan hari ini menyatakan, Singapura berpegang kepada pendirian bahawa semua pihak, termasuk Johor mesti menghormati terma Perjanjian Air 1962.

–BHarian

Leave a Reply