M Update, 22/10/2019 – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu membuat laporan polis berhubung video tular sekumpulan individu mencetuskan provokasi dan merosakkan kenderaan agensi berkenaan yang berada berdekatan lokasi kemalangan di Kilometer 46, Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi, Hulu Terengganu, malam tadi.
Rakaman video tular memaparkan beberapa individu memarahi tiga anggota JPJ yang menjalankan tugas di lokasi berkenaan dengan mendakwa mereka menjadi punca kemalangan. Menerusi rakaman video berdurasi 1 minit 59 saat, terdapat lelaki mencabar anggota JPJ bertumbuk selain menuduh pasukan penguat kuasa itu melakukan operasi bagi mendapatkan ‘duit kopi’.
Pengarah JPJ negeri, Zulkarnain Yasin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan motosikal dan kereta tiada kaitan dengan tiga anggota JPJ yang menjalankan tugas memeriksa lori berhampiran lokasi kejadian. Katanya, pihaknya kesal tindakan melulu dan provokasi awam terhadap anggotanya yang menjalankan tugas.
“Saya kesal apabila terdapat tindakan provokasi dan melulu oleh orang awam sehingga mengancam keselamatan anggota selain kerosakan kenderaan jabatan. Laporan polis sudah dibuat berhubung perbuatan ancaman dan khianat itu.
“Pihak JPJ juga sedang mengumpul maklumat berhubung fitnah tular sehingga mendatangkan kemarahan orang awam,” katanya menerusi satu kenyataan di Kuala Terengganu, hari ini.
Menurutnya, kejadian itu bagaimanapun tidak mencederakan tiga anggotanya. Bagaimanapun, kami serahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya. – HM Online