M Update, 1/11/2019 – Sebanyak 95 kawasan di Hulu Langat dan 61 kawasan di sekitar Kuala Lumpur berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual bermula hari ini.
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, ia berikutan masalah teknikal peralatan ‘bandscreen’ di Loji Rawatan Air Sungai Langat.
Menurutnya, insiden tersebut menyebabkan pengurangan pengeluaran air terawat sebanyak 179 juta liter sehari.
“Gangguan bekalan air ini disebabkan masalah teknikal sistem penapisan air mentah di Loji Rawatan Air Sungai Langat.
“Jangka masa pemulihan tidak dapat ditentukan buat masa ini namun Air Selangor akan mengemaskini status dari semasa ke semasa.
Pihak kami mohon maaf atas segala kesulitan dan segala usaha sedang diambil bagi mengatasi masalah ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pengguna boleh merujuk aplikasi Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com untuk maklumat dan status terkini.