Input your search keywords and press Enter.

OKU Dikecualikan Menduduki PSEE

M Update, 13/11/2019 – Pengecualian bagi menduduki Peperiksaan Online Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE) untuk orang kurang upaya (OKU) diharap dapat membantu kerajaan mencapai sasaran satu peratus penyertaan masyarakat itu dalam sektor perkhidmatan awam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Mohamed Hanipa Maidin berkata, pengecualian peperiksaan itu adalah pengumuman besar kerajaan kepada masyarakat OKU di negara ini terutama yang ingin menyertai perkhidmatan awam.

“Bila ada peperiksaan itu, ramai tidak lulus menyebabkan mereka gagal memasuki perkhidmatan awam. Sekarang kita buat keputusan untuk kecualikan peperiksaan ini.

“Selepas pengecualian ini, kita yakin dapat mencapai jumlah yang disasarkan iaitu satu peratus penyertaan pekerja OKU dalam sektor penjawat awam,” katanya pada sesi jawab lisan di sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan soalan dikemukakan Datuk Rosol Wahid (PH-Hulu Terengganu) berhubung statistik terkini pengambilan satu peratus pekerja OKU dalam sektor awam dan langkah menggalakkan penyertaan golongan itu dalam sektor itu.

Katanya, setakat 30 Jun lalu, jumlah penyertaan OKU dalam perkhidmatan awam 3,686 pegawai atau 0.29 peratus berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Mohamed Hanipa berkata, berdasarkan urusan pengambilan di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) pula, 44 orang calon OKU dilantik ke perkhidmatan awam daripada sejumlah 8,924 calon lantikan tetap bagi tempoh sehingga Jun lalu.

“SPA sentiasa menjadikan sasaran satu peratus peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada OKU seperti ditetapkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 16 Tahun 2010 sebagai asas dalam semua urusan pengambilan.

Sungguhpun demikian, pencapaian sasaran ini banyak bergantung kepada kesediaan kementerian dan jabatan yang menerima penempatan calon OKU selain perlu disesuaikan di antara norma kerja dan jenis ketidakupayaan calon OKU berkenaan.

“Pencapaian satu peratus OKU dalam perkhidmatan awam banyak bergantung pada semua pihak yang terbabit,” katanya.

Katanya, buat masa ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat adalah kementerian yang paling ke hadapan dan mencapai sasaran penyertaan penjawat awam OKU paling tinggi.

Mohamed Hanipa berkata, kerajaan juga akan mempelajari pengalaman digunapakai Australia dalam menangani isu membabitkan OKU.

“Setakat ini, negara yang agak ke depan dari segi mesra OKU adalah Australia dan mungkin kita dapat mempelajari sesuatu daripada negara berkenaan,” katanya.

Leave a Reply