Input your search keywords and press Enter.

Trio ‘ratu ais’ – Wanita Suka Aktiviti Lasak

M Update, 15/11/2019 – Tiga ‘ratu ais’ yang diperkenalkan hari ini bagi menggalas cabaran Ekspedisi Eksklusif Wanita ke Antartika, ‘All Women Expedition to Antartica’ (Aweta) menyifatkan kaum hawa masa kini semakin sinonim dengan aktiviti lasak.

Trio berkenaan adalah Anggota Tentera Darat Malaysia Koperal Siti Jumaidah Bensali, 34; Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Dalam Negeri, Salehah Abu Nor, 33; dan pakar farmasi, Nurul Atiqah Tamarun, 31.

Bagi Nurul Atiqah, walaupun pelbagai latihan lasak perlu dilalui bagi ‘menempah tiket’ untuk menyertai ekspedisi itu, namun ia langsung tidak memadamkan semangat beliau sebaliknya dijadikan inspirasi untuk menamatkan cabaran berkenaan dengan jayanya.

Antara latihan yang perlu dilalui seperti berada dalam cuaca di bawah paras beku di Norway untuk tempoh masa lama disifatkan sebagai ‘judul’ baharu dalam hidupnya dan pengalaman paling berharga.

Berada dalam cuaca sejuk merupakan cabaran kepada saya kerana saya tidak pernah ke mana-mana negara bersuhu seumpamanya. Semasa sesi latihan, kami juga perlu merendamkan tangan dan kaki dalam ais selama 30 minit sebagai persediaan awal berhadapan dengan suhu tersebut.

Bagi Siti Jumaidah pula, walaupun dirinya merupakan anggota tentera yang pastinya biasa dengan latihan lasak, beliau tidak menganggap cabaran Aweta itu sebagai mudah, kerana ia juga mampu menguji kekuatan mental dan fizikal dalam pelbagai aspek.

Berbekalkan pengalaman menyertai misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Lubnan pada 2012, anak kelahiran Kudat, Sabah itu meletakkan misi ke Antartika sebagai ‘cabaran’ baharu kepada dirinya yang amat meminati aktiviti lasak.

Sementara itu, Salehah pula menceritakan beberapa siri latihan lasak dalam cuaca sejuk di Norway merupakan pengalaman baharu baginya dan mengharapkan ia mampu mempersiapkan dirinya untuk melengkapkan cabaran Aweta tersebut.

“Semasa di Malaysia juga kami ada membuat beberapa aktiviti seperti berada selama 72 jam dalam Snow World, Genting Highlands. Walaupun Antartika pastinya lebih sejuk berbanding rumah salji itu, namun saya melihatnya sebagai cabaran yang mesti saya tempuhi,” kata anak jati Durian Tunggal, Melaka itu.

Sumber : Bernama

Leave a Reply