M Update, 19/11/2019 – Harga tanah yang ditawarkan kepada penduduk Kampung Baru adalah berdasarkan penilaian pasaran semasa, bukan spekulasi.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menegaskan, selain harga itu adalah paling tinggi pernah ditawarkan, penilaiannya juga dilakukan secara sah oleh Jabatan Perkhidmatan dan Penilaian Harta (JPPH). Katanya, kerajaan mempunyai hanya satu tujuan menerusi tawaran harga yang dibuat, iaitu untuk memastikan pembangunan Kampung Baru dapat direalisasikan.
“Kita adalah kerajaan dan bukan syarikat yang mahu berniaga, maka kita beli (tanah) selepas penilaian dibuat Jabatan Perkhidmatan dan Penilaian Harga dan bukan berdasarkan spekulasi. Kita tidak beli dengan harga zaman dulu atau akan datang. Itu spekulasi oleh orang yang bertindak sebagai broker.
“Saya bukan broker tetapi tawaran berdasarkan nilai semasa oleh jabatan kerajaan sendiri,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (QMT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai), Khalid menjelaskan harga RM1,000 bagi sekaki persegi yang ditawarkan kepada penduduk Kampung Baru tidak sepatutnya dibandingkan dengan tanah di sekitar Menara Berkembar Petronas (KLCC).
“Tanah KLCC RM3,000 sekaki persegi tetapi itu selepas bangunan berkenaan dibina. Sebelumnya, ketika tanah di situ masih (tapak) lumba kuda dan awal pembinaan KLCC nilainya adalah RM400 sekaki persegi.
“Sedangkan Kampung Baru belum dibangunkan dan bila sudah dibangunkan harganya pasti akan naik. Kita minta mereka kekal melabur, beli hartanah supaya akan dapat manfaat daripada pembangunan yang dilakukan nanti,” katanya.
Mengenai jumlah peratusan yang bersetuju dengan tawaran kerajaan itu, Khalid berkata, sehingga kini hampir 35 peratus pemilik menyatakan persetujuan manakala selebihnya masih belum memberi maklum balas. – BH Online