Sejak akhir-akhir ini, diskusi mengenai Bangsa Malaysia semakin kerap diwacanakan. Apa kata kita membincangkannya?
Sejak akhir-akhir ini, banyak peristiwa mencuit hati berlaku dan berlalu dengan begitu cepat. Isu-isu kenegaraan seperti bendera negara diterbalikkan, tidak cukup jalur, diwarnahitamkan dan sebagainya membangkitkan keributan di media sosial.
Baru-baru ini pula isu lagu Negaraku dinyanyikan dalam pelbagai bahasa seperti bahasa Mandarin dan Bahasa Arab. Kemudian muncul isu Komunisme seperti abu mayat mendiang Chin Peng, sambutan ulang tahun ala Komunis dan sebagainya.
Rentetan peristiwa itu, pada saya merupakan bibit-bibit antagonis kepada fundemental dan sains politik negara ini. Ada yang lupa negara kita ini berbilang kaum dan agama.
Rakyat Malaysia khususnya anak-anak muda yang tidak melalui keperitan Malayan Union 1945, keganasan Parti Komunis Malaya (1948-1989), kemelesetan ekonomi awal 1980an dan pertumpahan darah 1969 tidak akan merasa apa-apa dengan perbuatan-perbuatan antagonis yang kontradik dengan spirit Persekutuan Malaysia.
Saya fikir ini adalah kesilapan besar dasar pembinaan negara bangsa kita khususnya selepas pembentukan Persekutuan Malaysia 1963. Wilayah-wilayah British yang bersetuju membentuk Malaysia seperti North Borneo (Sabah), Sarawak dan Singapura tidak diikat dengan betul dalam banyak hal khususnya hal-hal politik, ekonomi dan sosial. Selepas 57 tahun Malaysia dibentuk, kita dapati di Sarawak dan Sabah masih wujud gerakan merdeka lagi, royalti minyak dan kuasa-kuasa negeri yang semakin menekan federalisme Malaysia.
Negara Brunei, salah satu sebab menolak menyertai Malaysia ketika itu ialah kegagalan rundingan minyak di antara Sultan Brunei dengan Tunku Abdul Rahman. Manakala, wilayah-wilayah yang mundur, miskin dan menghadapi ancaman Komunis seperti Sarawak dan Sabah tiada pilihan menyertai Malaysia kerana pada ketika itu, walaupun Malaya sudah merdeka dan Malaysia akan terbentuk pada tahun 1963, Great Britain dan negara-negara Komanwel seperti Australia masih membantu kawalan keselamatan negara baharu ini.
Begitu juga Singapura, Lee Kuan Yew sedar Singapura ketika itu menghadapi ancaman Sosialis dan Komunis di tengah-tengah bandar, malah Singapura juga tidak mempunyai wang yang cukup untuk menyelesaikan isu-isu sosial seperti perumahan setinggan, parti sosialis dan NGO pekerja yang kuat. Oleh itu, Lee Kuan Yew tiada pilihan bersetuju menyertai Malaysia. Dalam banyak hal, Lee Kuan Yew banyak berterima kasih kepada Tunku Abdul Rahman.
SELEPAS 57 TAHUN
Selepas 57 tahun peristiwa pembentukan Malaysia, apa sudah berlaku kepada negara kita hari ini? Adakah rakyat di negara kita telah benar-benar bersatu atas nama Malaysia? Adakah kita mempunyai dasar penyatuan seperti Bahasa Malaysia dan Bangsa Malaysia? Ternyata, kita masih terpisah-pisah dengan identiti kaum Melayu, kaum Cina, kaum India, kaum Iban, kaum Kadazan dan banyak lagi. Semua kaum-kaum ini tidak disatukan atas nama Bangsa Malaysia.
Seingat saya, DS Anwar Ibrahim semasa menjadi Menteri Pendidikan pernah membawa perubahan daripada bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia, kemudian berubah semula kepada bahasa Melayu. Di TV baru-baru ini, kita ada mendengar kempen perpaduan ucapan YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bercakap tentang kita ‘bangsa Malaysia’.
Baru-baru ini saya menghadiri beberapa seminar negara bangsa Malaysia, ramai tokoh-tokoh pendidikan Melayu juga bercakap tentang bangsa Malaysia. Mereka sudah bersedia untuk menerima konsep yang lebih besar seperti Bangsa Malaysia.
Ketua Pemuda UMNO baru-baru ini dalam Perhimpunan Agung UMNO 2019 juga bercakap hal negara ini milik semua kaum, tiada lagi istilah pendatang. Maksudnya milik Bangsa Malaysia, tetapi di manakah dan siapakah Bangsa Malaysia itu?
Jika begitu keadaannya sekarang, saya fikir, Kerajaan perlu merangka dasar baharu dan seterusnya menginstitusikan Bangsa Malaysia. Apakah dan bagaimanakah bentuk Bangsa Malaysia ini boleh didiskusikan lagi. Namun, Kerajaan perlu ada political will untuk menjayakan Bangsa Malaysia.
Negara Indonesia dengan bangsa Indonesianya, hari ini Indonesia semakin maju ke hadapan dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Kita ada negara Malaysia tetapi kita belum ada Bangsa Malaysia. Bagaimana kita hendak menyemai perpaduan dan kesatuan jika masing-masing kaum tidak habis-habis mempertahankan kepentingan kaum masing-masing.
Ideologi Bangsa Malaysia ini harus melangkaui sempadan perkauman dan agama. Yang telah dipersetujui dalam Perlembagaan Persekutuan kekalkanlah, tetapi untuk maju ke hadapan dengan bersatupadu kita perlu ada satu Bangsa yang dikenali dengan Bangsa Malaysia. Supaya, apabila kita mewakili Sukan SEA, Olimpik atau apa jua kejohanan, apabila ditanya apakah Bangsa kamu? kita tidak menjawab saya bangsa Cina Malaysia, saya India Malaysia, saya Melayu Malaysia, sebaliknya semua kita akan sama-sama menjawab “saya Bangsa Malaysia, kami Bangsa Malaysia”.
Apabila bercakap dengan orang asing di luar negara, tidak ada orang memperkenalkan ini Proton Cina Malaysia, itu Petronas Twin Tower Melayu Malaysia atau itu pasukan bolasepak CinaMelayuIndia Malaysia, sebaliknya kita dengan bangga akan memperkenalkan ini Proton Malaysia, ini Petronas Malaysia dan ini pasukan bola sepak Malaysia.
Bersambung…’Bangsa Malaysia vs Malaysian Malaysia’.