M Update, 23/12/2019 – Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi masih ditutup, setakat hari ini, akibat pencemaran bau sejak pagi kelmarin.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan berkata, setakat jam 6 pagi tadi, kadar pencemaran bau masih berada pada tahap satu TON (ukuran kadar bau).
“Berdasarkan pemantauan, kadar pencemaran bau masih kekal di paras satu TON dan adakala naik hingga dua TON.
“Sehubungan itu, kami tidak dapat memulakan operasi LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi hingga pencemaran bau mencapai tahap sifar TON. Ini bagi mengelakkan sebarang insiden bau tidak diingini berlaku pada air terawat di LRA dan seterusnya sampai kepada pengguna,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, Air Selangor memahami kesulitan dihadapi 336,930 akaun pengguna di empat wilayah yang terjejas akibat perbuatan tidak bertanggungjawab pihak mencemarkan sungai terbabit. Malah, katanya, segala usaha sedang dilakukan bagi menyalurkan bantuan bekalan kecemasan berterusan melalui lori tangki air, edaran botol air minuman, pengaktifan Pusat Khidmat Setempat dan pili awam yang beroperasi 24 jam sehari.
Media sebelum ini melaporkan bekalan air di empat daerah di Selangor terjejas berikutan masalah pencemaran bau di Sungai Semenyih, kelmarin. Lokasi yang terjejas ialah di sekitar Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang. Insiden itu menyebabkan LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya.
Sila rujuk aplikasi telefon pintar Air Selangor, Facebook dan Instagram Air Selangor, atau layari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com untuk maklumat dan status terkini.