M Update, 20/1/2020 – Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan mencemar duli merasmikan Hospital Tunku Azizah (HTA), di sini.
Keberangkatan tiba baginda menunjukkan keprihatinannya terhadap perkembangan dan kemajuan dilaksanakan kerajaan khususnya dalam bidang kesihatan. Tunku Azizah bertitah, kewujudan hospital ini satu lagi kemudahan kepada rakyat dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan lebih baik dan sempurna.
“Saya ucapkan tahniah kepada kerajaan yang berjaya menubuhkan satu hospital khas untuk wanita dan kanak-kanak,” titahnya pada majlis perasmian HTA di sini, hari ini.
Turut sama hadir pada majlis itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah serta Pengarah HTA, Dr Roniyuzam Abdul Malek.
Dalam titahnya, baginda juga menasihati ibu bapa memastikan anak-anak mendapat rawatan kesihatan yang baik termasuk pemberian imunisasi sejak kecil.
“Saya memang ambil berat akan kesihatan anak-anak sejak dari lahir hingga ke tua (dewasa). Kesihatan anak-anak adalah penting untuk generasi akan datang.
“Terutama kalau kita pergi ke (seperti disyorkan) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), air sangat penting, air yang bersih penting supaya anak dapat membesar dengan sihat,” titahnya.
Dalam titahnya, baginda juga menzahirkan rasa terharu dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas kesudian menamakan hospital berkenaan sempena namanya. Pada majlis itu, baginda juga berkenan melawat dua fasiliti terpilih yang terdapat di HTA iaitu Pusat Transplan Sel Stem dan Pusat Perubatan Reproduktif.
Mula beroperasi secara berperingkat bermula 25 Februari tahun lalu, HTA beroperasi sepenuhnya pada 16 Ogos tahun lalu sebagai hospital rujukan kebangsaan dan pusat kecemerlangan perkhidmatan perawatan Kesihatan, khusus untuk wanita dan kanak-kanak. Ia menawarkan perkhidmatan kepakaran bagi Obsterik, Ginekologi dan Pediatrik.
Hospital dilengkapi 600 katil, iaitu 378 katil untuk pediatrik dan 222 katil untuk obstetrik dan ginekologi serta merangkumi 24 katil untuk Unit Penjagaan Rapi (ICU), 32 katil untuk Unit Penjagaan Pediatrik (PICU). Selain itu, 50 katil untuk penjagaan rapi neonatal, 16 katil untuk ‘bone marrow transplant’ dan lapan katil untuk ‘padiatric burn bath’.
Ia juga dilengkapi dengan tiga unit dewan bedah ginekologi, sembilan unit dewan bedah pediatrik termasuk satu satu unit dewan bedah hybrid neuro, dua unit bersalin, lapan suit kemoterapi bagi ginekologi dan satu pusat perubatan reprokduktif. HTA sebelum ini dikenali sebagai Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur. – BH Online