M Update, 23/1/2020 – Lelaki yang dibelasah orang awam selepas pacuan empat roda dipandunya merempuh dua motosikal sehingga menyebabkan kematian dalam kemalangan di Jalan Kebun, Klang, direman untuk membantu siasatan, hari ini.
Hari ini, rakaman video pemandu Ford Ranger berusia 37 tahun terbabit dipijak dan dibelasah orang awam selepas kemalangan itu, tular di Facebook. Terdahulu, kemalangan yang berlaku itu menyebabkan seorang maut, manakala dua lagi parah sejurus motosikal masing-masing dirempuh kenderaan Ford Ranger dipandu lelaki itu, pagi tadi.
Dalam kejadian 7.20 pagi itu, penunggang motosikal Nuovo LC, Muhammad Zulfakkar Borhan, 29, meninggal dunia di lokasi kejadian. Manakala, penunggang dan pembonceng motosikal Honda EX5, Muhammad Hazid Mohd Kamil, 27 dan Muhammad Anas Mokti, 27, parah.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan mendapati Ford Ranger itu dipandu dari arah Bulatan Jalan Kebun menghala ke jejambat Lebuh Raya Shah Alam (KESAS). Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, Ford Ranger itu memasuki laluan bertentangan dan melanggar dua motosikal terbabit sebelum terbabas ke dalam longkang.
“Penunggang dan pembonceng Honda EX5 dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan ditempatkan di zon kuning dan zon merah. Manakala, penunggang Nuovo LC disahkan maut di tempat kejadian,” katanya kepada Harian Metro.
Shamsul Amar berkata, mayat mangsa dibawa ke HTAR untuk bedah siasat dan proses dijalankan 12 tengah hari ini. Menurutnya, pemandu Ford Ranger berkenaan direman jam dua petang ini.
“Saringan awal kandungan alkohol dalam darah melalui ujian pernafasan pada pemandu Ford Ranger menunjukkan ia pada tahap kawalan yang dibenarkan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Saya ingin mengingatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi bagi mengelak gangguan dalam siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – HM Online