M Update, 6/2/2020 – Polis memberi amaran supaya semua pihak menghentikan segera penyebaran dan perkongsian berita tidak sahih mengenai penularan coronavirus (2019-nCoV) di negara ini, atau berhadapan tindakan undang-undang.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata perbuatan tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu mengenai 2019-nCoV boleh mengundang rasa panik dan takut dalam kalangan rakyat.
“Tindakan itu adalah tidak bertanggungjawab dan tidak adil kepada rakyat kerana ia mampu mengundang situasi yang lebih serius pada keharmonian.
“Polis memandang serius perbuatan pihak yang menyebarkan berita tidak sahih serta tindakan tegas dan segera akan diambil bagi membendung perkara itu,” katanya selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontinjen Melaka Siri 1/2020 di sini, hari ini.
Abdul Hamid berkata mereka yang ditahan kerana menyebarkan berita tidak sahih mengenai 2019-nCoV akan didakwa seberapa segera yang boleh. Polis sehingga kini membuka 13 kertas siasatan berhubung penyebaran berita tidak sahih mengenai penularan 2019-nCoV menerusi laman media sosial dan tiga daripadanya sudah mendapat kelulusan untuk dituduh di mahkamah.
Pertuduhan terhadap satu kes dibuat di mahkamah Kuala Lumpur pagi ini membabitkan seorang wanita yang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tiga tuduhan membuat kenyataan berhubung isu jangkitan 2019-nCoV di laman profil Facebook miliknya yang akan menyebabkan ketakutan kepada orang awam.
Wan Noor Hayati Wan Alias, 41, didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM12,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.– BERNAMA