M Update, 6/2/2020 – Pusat pemborong GM Klang menafikan berlakunya jangkitan coronavirus 2019 (2019-nCoV) di gedung membeli-belah berkenaan seperti yang tular di media sosial.
Jabatan Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam GM Klang, berkata perkara itu dipercayai tercetus susulan pengumuman dibuat oleh bahagian khidmat pelanggannya sebelum ini yang berkongsi langkah pencegahan coronavirus seperti disyorkan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Niat baik itu disalahertikan oleh sesetengah pihak yang beranggapan pengumuman itu dibuat kerana terdapat kes coronavirus di GM Klang.
“Maklumat palsu dicipta dan disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab ini menimbulkan perasaan cemas dan bimbang dalam kalangan banyak pihak,” kata jabatan itu dalam kenyataan di sini, hari ini.
Jabatan itu menyatakan, GM Klang amat memandang serius mengenai penyebaran berita palsu seumpama itu kerana ia mencemar kredibiliti dan mengganggu aktiviti perniagaan di gedung beli-belah berkenaan.
Justeru, kata jabatan itu, GM Klang membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai isu terbabit supaya siasatan dapat dijalankan serta tindakan susulan dikenakan terhadap penyebar maklumat palsu berkenaan.
“Kami menyarankan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan berita palsu ini dan merujuk kepada saluran yang dipercayai sebelum mengesahkan mana-mana berita yang diterima,” kata kenyataan itu. – BERNAMA