M Update, 11/3/2020 – Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) mengingatkan orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan sebarang iklan tawaran yang tular di media sosial.
JPJ dalam kenyataannya berkata, iklan dengan tanda pagar #viraljpj itu menawarkan tiga perkhidmatan iaitu penukaran nama geran tanpa pemilik asal, mendapatkan lesen memandu tanpa perlu menjalani ujian serta memperbaharui cukai jalan tanpa perlu ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
Walau bagaimanapun, semua perkhidmatan yang dinyatakan itu adalah tidak benar sama sekali dan JPJ mengambil berat mengenai isu itu supaya orang ramai tidak mudah tertipu.
“JPJ ingin menegaskan bahawa sebarang urusan berkaitan lesen memandu, lesen kenderaan motor (LKM) dan tukar hak milik kenderaan tidak mengikut prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan adalah tidak sah.
“Pihak JPJ juga sudah membuat laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membanteras kegiatan tidak bermoral ini,” menurut kenyataan itu.
JPJ turut menasihatkan orang ramai tidak mudah percaya dan menghubungi JPJ berdekatan untuk maklumat lebih tepat dan sebarang aduan boleh layari http://jpj.spab.gov.my/eApps/system/index.do – BH Online