M Update, 17/3/2020 – Keputusan kerajaan isytihar Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari dari 18-31 Mac merupakan langkah tepat untuk mencegah penularan baharu wabak COVID-19 di negara ini, kata seorang pakar sains politik.
Justeru itu, Prof Datuk Dr Nasarudin Mohammed menegaskan tiba masa masyarakat melaksanakan peranan dan tanggungjawab masing-masing terutamanya mematuhi semua arahan serta larangan yang ditetapkan sepanjang tempoh sekatan itu berkuat kuasa.
Jelasnya, rakyat perlu faham larangan bersifat sementara itu bertujuan mengawal orang awam daripada bergerak bebas sehingga memungkinkan berlaku jangkitan wabak yang lebih teruk.
“Pertama sekali, masyarakat jangan berasa panik sebaliknya perlu tenang dan ikut semua arahan yang telah dan akan dimaklumkan. Ini bukan Perintah Berkurung, kita cuma dibataskan pergerakan keluar masuk.
“Cuma perlu duduk dalam rumah saja dan keluar bila dibolehkan. Mesej jelas, kurangkan pergerakan seminimum mungkin untuk menyahaktifkan COVID-19,” katanya kepada Bernama.
Pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi antaranya melarang secara menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.
Turut berkuat kuasa sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara; sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara; penutupan semua institusi pendidikan seperti taska, sekolah kerajaan dan sekolah berasrama penuh.
Penutupan turut membabitkan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara; dan penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara antaranya air, elektrik, tenaga dan telekomunikasi.
Bagaimanapun, Nasruddin berkata sekiranya masyarakat masih terus dengan sikap tidak berdisiplin dan tidak mengambil berat, langkah perintah kawalan pergerakan itu mungkin tidak berkesan sepenuhnya.
“Saya bimbang, disiplin ini boleh dianggap sangat rendah…mungkin pada tahap satu yang memerlukan hukuman berat dan keras untuk mendisiplinkan diri,” tambahnya.
Mengulas lanjut, katanya, di peringkat pentadbiran, kerajaan juga menerusi media massa mesti menyediakan maklumat dan panduan kepenggunaan, kesihatan, keselamatan isirumah dan kesiapsiagaan kepada rakyat ketika tempoh larangan itu.
Mengambil contoh negara lain yang berdepan wabak sama, Nasaruddin berkata kerajaan juga harus menyediakan bantuan atau insentif dalam bentuk perkhidmatan dan kewangan seperti elaun, diskaun pembelian runcit, pengagihan ubat-ubatan dan makanan.
“Aspek logistik, barangan keperluan asas perlu diperluas bagi mengelakkan insiden kehabisan barangan dapur akibat ‘belian panik’ serta untuk golongan sasar kesempitan wang. Setakat ini diskaun caj elektrik sudah pun diumumkan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi.
“Perkara lain yang boleh dipertimbangkan kerajaan termasuk subsidi gas memasak, penangguhan pembayaran utiliti dan cukai lain yang pembayarannya dalam tempoh sekatan, malah gaji dan pencen bulan Mac seeloknya dibayar segera,” katanya.
Selain itu, kerajaan juga perlu menyediakan pelan pemulihan bagi membantu golongan pekerja yang terjejas sepanjang tempoh larangan itu berkuat kuasa, tambahnya. – BERNAMA