M Update, 12/5/2020 – Hari Guru peringkat kebangsaan kali ke-49 yang bakal disambut di seluruh negara Sabtu ini akan mengetengahkan tema ‘Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu’.
Kementerian Pendidikan (KPM) menaruh keyakinan tema sedemikian berupaya memberi semangat baharu kepada guru dan murid, sekali gus membentuk masyarakat yang menuntut ilmu dengan niat ikhlas supaya ia mudah terpahat di sanubari.
“Hari Guru disambut pada 16 Mei setiap tahun sebagai tanda memperingati dan menghargai pengorbanan guru dalam mendidik, membimbing serta membentuk anak bangsa.
“Tema ini menyentuh peranan guru dalam memperkasa keilmuan dan profesionalisme bagi membina generasi baharu negara yang dapat memenuhi matlamat falsafah pendidikan kebangsaan.
“Guru ialah insan yang sentiasa dahagakan ilmu dan tidak jemu melengkapkan dirinya dengan pelbagai pengetahuan, kemahiran dan nilai sejajar prinsip pembelajaran sepanjang hayat. Dalam konteks berguru, ilmu hendaklah diperoleh daripada seseorang dengan kepakaran atau kemahiran yang asli dan berasaskan sumber betul, sahih serta berwibawa,” kata kenyataan itu.
KPM berkata murid perlu menginsafi bahawa tiada manusia yang mencapai kejayaan di dunia ini tanpa kehadiran insan bergelar guru, malah golongan pendidik menjadi penyumbang utama ke arah pembentuk ketrampilan dan keperibadian seseorang.
Sehubungan itu, berguru adalah proses pembelajaran berterusan yang tiada penghujung selagi seseorang masih menikmati kehidupan di dunia ini. Seseorang yang berguru dengan niat ikhlas untuk mendapatkan ilmu akan terus berusaha meningkatkan kefahaman terhadap ilmu berkenaan dan berusaha meneroka bidang ilmu baharu.
Ini akan melahirkan lebih ramai ilmuwan yang mampu mencipta dan mereka produk serta perkhidmatan yang memberi impak tinggi kepada masyarakat dan negara. Murid yang ada pada hari ini ialah generasi pewaris masa hadapan negara, justeru adalah penting untuk guru menanam dalam jiwa muridnya akan kecintaan dan dahaga kepada ilmu.
Kecintaan mereka kepada ilmu akan melahirkan generasi baharu yang lebih gemilang dalam pelbagai aspek kehidupan, maka KPM yakin bahawa tema ‘Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu’ ini dapat memberi semangat baharu kepada guru dan murid. – BH Online