M Update, 13/5/2020 – Berkuat kuasa hari ini, semua kenderaan daripada pantai barat ke negeri ini akan dilencongkan ke Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, Kemaman.
Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik, berkata hanya kenderaan yang mempunyai kelulusan rentas negeri akan dibenarkan meneruskan perjalanan ke negeri ini.
Tegasnya, pemandu kenderaan yang tidak mempunyai kelulusan untuk berbuat demikian akan diarahkan untuk berpatah balik.
Beliau berkata, semua kenderaan daripada pantai barat yang menggunakan laluan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) tidak dibenarkan melencongkan kenderaan keluar ke Kuantan untuk ke negeri ini.
“Laluan dari Kuantan untuk ke negeri ini melalui jalan pantai akan ditutup. Hanya satu laluan dibuka untuk semua kenderaan daripada barat memasuki negeri ini berkuat kuasa petang ini.
“Semua kenderaan daripada barat akan dilencongkan ke kawasan R&R Perasing di sempadan Terengganu-Pahang untuk pemeriksaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Roslee menegaskan hanya pergerakan rentas daerah di negeri ini dibenarkan.