M Update, 4/6/2020 – Taska, tadika atau pengasuh yang beroperasi tanpa kebenaran agensi kerajaan hendaklah berdaftar segera bagi memastikan usaha agensi kerajaan memerangi wabak COVID-19 berjalan dengan baik.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pusat jagaan kanak-kanak berdaftar sudah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk kembali beroperasi. Sebaliknya, beliau berkata, taska, tadika dan rumah pengasuh dibimbangi akan beroperasi tanpa pemantauan dan prosedur yang rapi.
“Apabila diumumkan pusat ini akan kembali beroperasi, sebanyak 7,901 taska sudah memohon untuk dibuka. Ini termasuklah taska di bawah pengurusan perniagaan, taska awam dan taska di rumah.
“Tetapi apa yang dibimbangi adalah taska swasta yang dibuka secara haram. Kita bimbang kerana ia tiada penjaga yang terlatih dan apabila berlaku sesuatu, ia di luar daripada tanggungjawab kementerian.
“Oleh demikian, saya seru taska persendiriaan ini termasuk mereka yang menjaga tiga empat orang anak supaya mendaftar agar dapat dilatih,” katanya dalam sidang akhbar harian, di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata, SOP yang dibangunkan untuk pengoperasi taska amat ketat, iaitu membabitkan keluar-masuk anak-anak yang dihantar.
“Sukar untuk kita melakukan pemantauan sekiranya membabitkan taska yang tidak berdaftar,” katanya.
Ditanya mengenai risiko meletakkan anak dalam tempoh yang lama di taska, Ismail Sabri berkata, ia tidak menimbulkan kebimbangan kerana taska yang berdaftar mempunyai SOP yang ketat.
“Ada tempoh ibu bapa akan melakukan kerja lebih masa tetapi ia tidak timbul isu sekiranya taska berkenaan mengamalkan setiap SOP yang disarankan,” katanya.