M Update, 17/6/2020 – Kanak-kanak tidak dilarang untuk beriadah di taman permainan dan meluangkan masa di pusat beli-belah bersama keluarga, ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata taman permainan dan pelbagai tempat guna awam mula dibuka sejak kerajaan melaksanakan PKPP pada 10 Jun lalu. Bagaimanapun, katanya, ibu bapa harus sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan kanak-kanak yang sehingga kini dikategorikan sebagai golongan berisiko mendapat jangkitan COVID-19.
“Sekarang ini (kanak-kanak) sudah boleh (keluar), tiada larangan untuk mereka beriadah di taman permainan yang sudah dibuka.
“Cuma peringatan yang ingin ditegaskan di sini ialah jangan berhimpun beramai-ramai di kawasan riadah sebab kita perlu mengamalkan penjarakan sosial.
“Begitu juga dengan pusat beli-belah, tiada tegahan yang tidak membenarkan kanak-kanak untuk pergi beli permainan bersama ibu bapa di pusat beli-belah,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri Mengenai PKPP, di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai isu tekanan mental dalam kalangan kanak-kanak selepas mereka terpaksa ‘berkurung’ selama tiga bulan, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula berkuat kuasa pada 18 Mac lalu.
Antara petanda tekanan mental yang dikatakan mula meruncing dan kelihatan dalam kalangan kanak-kanak ialah kemurungan, kurang selera makan dan cenderung bersendirian.