M Update, 3/7/2020 – Tan Sri Muhyiddin Mohamad Yassin menzahirkan ucapan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang hingga kini masih bertungkus-lumus mengawal penularan wabak COVID-19 dalam negara.
“Alhamdulillah buat kali pertama kelmarin negara mencatat kes harian COVID-19 terendah dengan satu kes import dan tiada kes jangkitan tempatan dalam kalangan warganegara dan bukan warganegara,” kata Perdana Menteri yang menzahirkan penghargaan serta terima kasihnya itu melalui hantaran di Facebook.
Perdana Menteri berkata, beliau juga berbangga dengan seluruh rakyat Malaysia atas kerjasama yang sangat baik dalam mematuhi SOP yang ditetapkan.
Aliran penurunan jumlah kes harian tempatan sehingga merekodkan satu angka sejak kebelakangan ini menunjukkan tahap kesedaran dan pengetahuan masyarakat mengenai wabak COVID-19 serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semakin tinggi.
“Tahniah saya ucapkan kepada rakyat Malaysia. Ya, perkembangan positif ini sememangnya membuatkan kita sangat teruja dan bangga,” katanya. Namun, katanya rakyat tidak seharusnya berasa terlalu selesa sehingga alpa dan lalai dalam usaha mengawal jangkitan COVID-19 ini.
Beliau turut mengingatkan dan menegaskan supaya rakyat terus berwaspada, mengambil langkah pencegahan dan mematuhi SOP yang ditetapkan pada setiap masa walau di mana mereka berada.
“Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, kita semua adalah ‘frontliners’. “Kita semua memikul tanggungjawab yang sangat berat untuk melindungi keluarga, komuniti dan negara daripada wabak COVID-19. Insya-Allah saya yakin, dengan kerjasama dan komitmen seluruh rakyat Malaysia, kita akhirnya pasti akan berjaya memerangi COVID-19. “Saya berbangga dengan anda semua. Saya bangga menjadi rakyat Malaysia,” katanya.
Kelmarin masuk hari ke-22 PKPP, negara mencatat sejarah apabila tiada kes yang dilaporkan mendapat jangkitan dari dalam negara iaitu penularan tempatan, sama ada dalam kalangan warganegara Malaysia mahupun bukan warganegara, selain itu buat pertama kalinya mencatatkan kes harian terendah dengan hanya satu kes. -BH Online