M Update, 23/7/2020 – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N58 Slim, Perak diadakan pada 29 Ogos.
Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom turut mengumumkan hari penamaan calon pada 15 Ogos, manakala tarikh mengundi awal pada 25 Ogos.
“Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula daripada hari perisytiharan calon-calon bertanding sehingga pukul 11.59 malam 28 Ogos,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas mengenai urusan PRK itu, di sini hari ini.
Kerusi DUN Slim kosong selepas penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, meninggal dunia di Hospital Bentong, Pahang pada 15 Julai lepas akibat serangan jantung ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf & Country Resort.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, Mohd Khusairi yang mewakili Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi berkenaan dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal. – BERNAMA