M Update, 24/8/2020 – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menafikan sebuah video mendakwa anggota penguat kuasanya mengasari orang ramai dan menengking seperti yang ditularkan sejak Isnin lalu.
Menerusi video 25 saat itu, beberapa anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dilihat bertikam lidah dengan beberapa lelaki dipercayai pemilik dan pekerja premis kenderaan di Jalan Kebun Teh sehingga dikecam netizen.
MBJB dalam kenyataannya berkata, mereka sudah membuat laporan polis terhadap pemilik premis kenderaan terpakai di Jalan Kebun Teh berikutan kesalahan menghalang tugas penjawat awam selain menyebarkan video mengelirukan di laman sosial
MBJB turut memaklumkan kejadian berkenaan berlaku Isnin lalu kira-kira jam 10 pagi berikutan satu operasi yang dijalankannya sekitar Jalan Kebun Teh. Katanya, operasi itu adalah susulan daripada aduan yang kerap disalurkan orang awam mengenai kesesakan lalu lintas di sekitar Jalan Kebun Teh.
“Operasi kenderaan menghalang laluan di sekitar Jalan Kebun Teh diadakan selepas mendapati punca utama kesesakan lalu lintas berlaku disebabkan kenderaan ibu bapa yang mengambil anak pulang dari sekolah selain kehadiran kenderaan jualan yang diletakkan di sekitar bahu jalan, rizab jalan, petak parkir hadapan premis dan kawasan persekolahan.
“Operasi ini kerap dijalankan di lokasi berkenaan namun beberapa pemilik pusat jualan kenderaan di situ masih tiada kesedaran dan tidak mematuhi undang-undang yang ditetapkan. Namun ketika operasi sedang dijalankan, pemilik premis yang tidak berpuas hati dengan tindakan ke atas kenderaan jualannya membuat provokasi serta memaki hamun anggota yang bertugas,” katanya dalam kenyataan berkenaan.
Mengulas lanjut, MBJB berkata, dalam operasi berkenaan sebanyak 14 kompaun dikeluarkan dan empat kenderaan ditunda di bawah peruntukan Akta 133 Jalan, Parit dan Bangunan dan Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran MBJB 1981 Pindaan 2014 (6)(i)(g).
“Kenderaan yang ditunda ketika operasi berkenaan dihantar ke stor MBJB dan tuntutan kenderaan adalah dibenarkan. Namun dengan syarat pemilik perlu membuat surat akuan sumpah untuk berjanji tidak melakukan kesalahan yang sama lagi kerana pemilik sentiasa berdegil dan kerap melakukan kesalahan yang sama walaupun tindakan dibuat dan peringatan sudah diberikan beberapa kali.
“Penguatkuasaan akan terus dijalankan secara berterusan termasuklah atas kesalahan berniaga tanpa lesen dan pelan ubah tambah bangunan tanpa kelulusan serta apa juga kesalahan yang dibuat bertentangan dengan Undang-Undang MBJB,” katanya – BH Online