M Update, 7/9/2020 – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melanjutkan tarikh untuk majikan membuat bayaran caruman wajib daripada 15 haribulan kepada 30 haribulan bagi bulan September 2020 hingga Disember 2020.
KWSP dalam kenyataannya berkata, ia sebelum ini melanjutkan tarikh bayaran caruman berkenaan bagi bulan April 2020 hingga Ogos 2020, dengan tujuan untuk meringankan beban majikan berikutan keadaan semasa yang tidak menentu disebabkan pandemik COVID-19.
Katanya, keputusan untuk meneruskan fleksibiliti ini adalah sejajar dengan pengumuman kerajaan baru-baru ini untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Disember 2020.
“Majikan boleh membuat bayaran caruman melalui portal i-Akaun (Majikan) dalam laman sesawang KWSP, perbankan Internet atau di kaunter bank yang dilantik,” katanya. – BH Online