M Update, 16/10/2020 – Kesemua 99 penumpang penerbangan MH2608 Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke Labuan pada 8.35 pagi, 11 Okt lepas diminta menjalani ujian saringan COVID-19 selepas salah seorang penumpang pesawat itu didapati positif ujian virus tersebut, baru-baru ini.
Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis (CPRC) Labuan semalam mengeluarkan jadual untuk para penumpang tersebut menjalani ujian di Klinik Kesihatan Membedai di sini, yang boleh dilakukan dari 11 pagi hingga 2 petang setiap hari, bermula hari ini.
Para penumpang yang ingin menjadualkan semula masa menjalani ujian tersebut boleh menghubungi CPRC Labuan di talian 087-596160, 087-422505 atau 087-442506.
Sementara itu, dalam satu kenyataan, restoran makanan Jepun Sakura Sushi di bandar tersebut ditutup buat sementara waktu berikutan terdapat pelanggan yang menjamu selera di restoran itu (dari 4 hingga 10 Okt) didapati positif COVID-19 dan semua kakitangannya dikehendaki menjalani ujian saringan serta kuarantin kendiri.