M Update, 17/11/2020 – Individu yang mahu bergerak dari zon merah ke zon hijau berkemungkinan perlu menjalani ujian saringan COVID-19, pada masa hadapan.
Ketika ini Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mempertimbangkan cadangan berkenaan, antara usaha untuk melindungi daerah atau negeri yang masih lagi berada dalam zon hijau di negara ini. Hanya tiga negeri yang kekal dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) iaitu Perlis, Kelantan dan Pahang
KKM kena lihat bagaimana untuk melindungi negeri hijau serta bagaimana untuk menjalankan saringan terhadap mereka dari zon merah ke zon hijau. Tindakan KKM adalah untuk melindungi negeri hijau. Diharapkan dalam tempoh beberapa hari, ada enam negeri yang dalam kategori zon hijau dan perlu melindungi keenam-enam negeri ini dengan melaksanakan tindakan kesihatan awam.
Walaupun ada jangkitan kes baharu dikesan di Kelantan, ia membabitkan kes import dari negeri zon merah yang kembali ke negeri itu. KKM juga melihat perkembangan di Kedah yang menyaksikan banyak kawasan dalam zon merah sudah berkurangan, begitu juga di Terengganu manakala Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan membabitkan Kluster Kempas di Johor sudah ditamatkan.
Terdapat kluster baharu di Kota Tinggi dan mengambil tindakan mengenakan PKPB untuk dua minggu. Selepas dua minggu, mungkin KKM akan melihat kembali perkembangan baik di Kedah, Terengganu dan Johor. Jika ada perkembangan baik, mungkin kita akan pertimbangkan untuk ia kembali ke PKPP. – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah