Input your search keywords and press Enter.

KKM Sedia Tatacara Urusan Jenazah Pesakit Covid-19

M Update, 18/11/2020 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyediakan tatacara tertentu bagi pengendalian jenazah pesakit Covid-19 untuk membendung penularan pandemik berkenaan.

Menurutnya, tatacara pengendalian jenazah dibincangkan bersama pakar Forensik KKM dan muzakarah bersama pihak JAKIM, manakala bagi orang bukan Islam, perbincangan diadakan bersama persatuan agama masing-masing. Menurutnya, kajian saintifik dan laporan forensik hasil post-mortem membuktikan bahawa jenazah pesakit Covid-19, misalnya bendalir yang keluar daripada jenazah, mempunyai potensi kebolehjangkitan.

Ini kerana terdapat situasi di luar negara di mana jenazah Covid-19 tidak diurus mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Agensi Kesihatan negara terbabit. Terdapat situasi di mana jenazah, walaupun diuruskan mengikut SOP Covid-19 yang betul tetapi dibuka serta dicium ahli keluarga apabila dibawa pulang mengakibatkan seluruh ahli keluarga dijangkiti dengan virus. – Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Rohaizat Yon

Ahli keluarga tidak dibenarkan untuk mengurus jenazah di rumah atau tempat lain sebaliknya jenazah akan diuruskan sepenuhnya di hospital. Hanya seorang ahli keluarga dibenarkan untuk mengenal pasti jenazah dengan penjarakan satu meter dan memakai kelengkapan alat pelindung diri (PPE) dan tidak dibenarkan sama sekali mencium dan menyentuh jenazah. Semua jenazah pesakit Covid-19 akan dibalut dengan sehelai linen putih dan dua lapisan beg mayat.

Menurutnya lapisan paling luar beg mayat akan disanitasi dengan 0.5 peratus sodium hypochlorite. Selain itu, ahli keluarga dilarang untuk membuka beg mayat atau keranda yang ditutup.

Bagi jenazah Islam, ia perlu diuruskan dengan hanya melakukan tayammum di atas permukaan paling luar beg jenazah tanpa perlu dimandikan. Manakala pengendali jenazah diwajibkan memakai kelengkapan alat pelindung diri (PPE) dan mencuci tangan selepas melakukan tayammum untuk mengelakkan sebarang risiko jangkitan. Manakala, bilangan individu yang menunaikan solat jenazah perlu dihadkan dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

Urusan pengebumian perlu dilakukan secepat mungkin dengan pemantauan daripada pihak KKM dan ahli keluarga terdekat sahaja dinasihatkan hadir untuk pengebumian dan dikehendaki segera meninggalkan tanah perkuburan sebaik sahaja urusan pengebumian selesai.

Bagi jenazah bukan Islam pula, sekiranya terdapat upacara yang perlu dilakukan, prosedur hendaklah dilakukan seminima mungkin dan dilakukan di lapisan paling luar beg mayat. Mayat perlu segera dibakar atau dikebumikan mengikut agama masing-masing. Upacara penghormatan terakhir dibuat berdasarkan SOP yang ditetapkan dengan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan mencuci tangan dengan pemantauan dari pihak KKM.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Rohaizat Yon