M Update, 30/11/2020 – Gara-gara menumbuk ibu kandungnya kerana berang tidak diberikan wang yang diminta, seorang peniaga pasar malam dijatuhkan hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Mohamed Fared Abdul Latif memerintahkan tertuduh Abdul Halim Ahmad Fuad, 40, menjalani hukuman itu bermula daripada tarikh dia ditangkap pada 28 November lalu.
Lelaki itu mengaku bersalah sengaja mencederakan ibunya, Rahyah Abd Rahman, 70, di sebuah rumah di Jalan Jambu Golok, Taman Seri Delima, Sentul, di sini, pada 7.30 pagi, 28 November, dan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh bertindak memarahi dan menumbuk ibunya di kepala kerana wanita itu tidak memberikan wang yang diminta sebelum mangsa kemudiannya menghubungi polis untuk meminta bantuan.
Terdahulu, Abdul Halim yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan dia mengalami masalah psikologi.
Timbalan Pendakwa Raya Illya Syaheedah Mohd Razif yang mengendalikan pendakwaan bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh dengan mengambil kira faktor, mangsa seorang warga emas dan tinggal serumah dengan tertuduh.
Sementara itu di Mahkamah Majistret Selayang, seorang penganggur mengaku bersalah sengaja mendatangkan kecederaan terhadap ibu kandungnya dengan memukul di bahagian kepala dan badan mangsa, Rabu lalu,
Masshahrudin Mohames Soa’aid, 37, didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap ibunya berusia 65 tahun di sebuah kedai dobi di Jalan Permai 1 Selayang Permai, Batu Caves, Gombak di sini, pada 9 pagi, 25 November lalu.
Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana tidak mempunyai penjamin dan menetapkan 25 Januari tahun depan untuk menjatuhkan hukuman terhadap lelaki itu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni sementara tertuduh tidak diwakili peguam.