M Update, 10/12/2020 – Tindakan tujuh individu yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketika hadir di Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur mengundang padah apabila mereka dikenakan kompaun.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur Mohd Zaki Ismail berkata, seramai 22 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selain pihak JPJ sendiri terbabit dalam pemeriksaan bermula jam 11 pagi.
“Kami mengambil inisiatif untuk menjalankan pemeriksaan itu memandangkan pejabat kami adalah lokasi tumpuan orang ramai.
“Dalam situasi ini, orang ramai perlu mematuhi SOP ditetapkan pihak berkuasa bagi mengelakkan penularan Covid-19.
“Hasil pemeriksaan dilakukan, tujuh kompaun dikeluarkan kepada pelanggan di dalam pejabat kami yang didapati tidak mengimbas kod QR MySejahtera yang disediakan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Mohd Zaki berkata, selain daripada pemantauan pematuhan SOP, pihak polis juga membantu memantau kegiatan penipuan yang dijalankan oleh orang tengah (ulat) di pejabat JPJ Kuala Lumpur.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi SOP ditetapkan pihak berkuasa sepanjang berurusan di pejabat JPJ termasuk memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal serta mengimbas kod QR MySejahtera.
“Pada masa sama, saya menasihatkan orang ramai supaya tidak berurusan dengan orang tengah (ulat) selain pegawai atau anggota JPJ di kaunter yang disediakan,” katanya.