M Update, 10/12/2020 – Pendakwah selebriti, Da’i Syed, 25, atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Syed Jamalullail didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii dan mencabul seorang wanita Oktober lalu.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicara sebaik kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin dan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap penuntut berusia 22.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Blok Empire City, Damansara Perdana pada jam 4 pagi 17 Oktober lalu.
Bagi perbuatan itu, Syed didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sampai 20 tahun atau sebat.
Prosiding kes dikendali oleh Timbalan Pendakwaraya Vitiya Monisha Paranthaman manakala tertuduh diwakili peguam Syed Amirul Syed Edros.
Terdahulu, Vitiya tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh dengan alasan ia kesalahan yang tidak boleh dijamin dan kesalahan serius serta bimbang mengganggu mangsa.
Namun, beliau menawarkan jaminan sebanyak RM100,000 jika mahkamah membenarkannya dengan syarat tambahan.
Bagaimanapun Syed Amirul meminta tertuduh dibenarkan jamin kerana walaupun kes itu tidak boleh dijamin namun mahkamah tetap mempunyai budi bicara.
“Tiada risiko anak guam saya akan melarikan diri selain dia memberi kerjasama kepada polis sepanjang siasatan.
“Saya juga memohon mahkamah menetapkan jaminan yang minimum memandang pendapatannya terjejas kerana Covid-19,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan syarat tambahan iaitu dia tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap 1 hari bulan dan tidak mengganggu mangsa.
Mahkamah juga menetapkan 21 Februari tahun depan untuk tarikh sebutan semula kes.
Sementara itu, Syed turut didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan melakukan keganasan seksual bagi mencabul ke atas mangsa sama Oktober lalu.
Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicara sebaik kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu pada masa dan tempat sama.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.
Prosiding kes dikendali Timbalan Pendakwa Raya Zamriah Zarifah Aris manakala tertuduh diwakili peguam sama.
Syed Amirul yang mewakili anak guamnya sekali lagi memohon mahkamah membenarkan Syed diikat jamin bagi pertuduhan itu.
“Selain itu, saya juga memohon ikat jamin dikurangkan kerana anak guam menanggung ibunya sejak 2017 selepas berpisah dengan bapanya,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa serta tarikh sebutan semula kes pada 19 Februari ini.
Terdahulu, Syed tiba di perkarangan Mahkamah Petaling Jaya pada 10.10 pagi dibawa oleh polis dengan keadaan bergari.
Dia yang memakai baju T-Shirt berwarna biru kelihatan tenang.
Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang pendakwah selebriti ditahan polis bagi membantu siasatan kes dakwaan merogol seorang gadis, tahun lalu.
Suspek ditahan kira-kira jam 11 malam pada 26 November lalu selepas tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.