M Update, 21/01/21 – Kerajaan negeri akan memastikan Sabah mendapat keutamaan dalam semua inisiatif dan pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan kerajaan Persekutuan bagi mengatasi kesan pandemik COVID-19 terhadap ekonomi.
Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata PERMAI dilihat bakal membantu mengurangkan bebanan ditanggung rakyat dalam keadaan sukar ini.
“Sabah adalah antara negeri paling terjejas dan kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Putrajaya untuk memastikan kita diutamakan dalam semua inisiatif ini.
“Memang tiada jalan mudah menuju pemulihan kerana kesan global pandemik terhadap ekonomi. Bagaimanapun, kerajaan negeri diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil segala langkah bagi memastikan ekonomi Sabah pulih,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Sementara itu, BERNAMA melaporkan di Putrajaya, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat sebagai sebahagian daripada petugas barisan hadapan, akan turut menerima bantuan sekali beri sebanyak RM300 yang diumumkan menerusi Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata bantuan itu membuktikan kerajaan menghargai peranan mereka yang bertungkus-lumus berusaha mengekang penularan wabak COVID-19.
Isnin lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan pemberian sekali bayaran RM500 kepada semua petugas barisan hadapan kesihatan dan RM300 kepada petugas barisan hadapan lain yang mula dibayar pada suku tahun pertama tahun ini.
Zuraida berkata, PERMAI yang mengandungi 22 inisiatif dengan nilai keseluruhan RM15 bilion membuktikan kerajaan proaktif menangani kesan ekonomi susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Suntikan fiskal langsung melalui pelbagai inisiatif membela kebajikan rakyat dan menjamin kelangsungan perniagaan pasti akan memberi impak positif kepada ekonomi negara, sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan, semalam.