Input your search keywords and press Enter.

National Task Force Siap Siaga Usir Pelarian Rohingya

M Update, 29/01/2021 – Pasukan National Task Force (NTF) siap siaga di perairan Selat Melaka, bagi mengusir lebih 200 pelarian Rohingya yang disedari hilang daripada kem pelarian di Lhokseumawe, Aceh, Indonesia, Sabtu lalu.

Berdasarkan maklumat dari pihak berkuasa Indonesia, ratusan pelarian Rohingya dipercayai hendak melarikan diri ke negara ini.

Komander National Task Force, Laksamana Madya, Datuk Aris Adi Tan Abdullah, berkata pihaknya sudah sedia maklum mengenai situasi di Lhokseumawe, Aceh dan NTF kini sudah mempertingkatkan kawalan di perairan negara bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Pendekatan utama kita sekiranya bertembung dengan kumpulan pelarian ini adalah langkah pencegahan iaitu mengusir mereka keluar dari memasuki perairan negara demi memastikan sebarang cubaan penularan pandemik COVID-19 dapat dipatahkan demi keselamatan rakyat di negara kita.

“Antara elemen NTF yang mengawasi di kawasan berkenaan adalah membabitkan pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dibantu dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pasukan Polis Marin, Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

.

Aris Adi Tan juga tidak menolak kemungkinan pelarian Rohingya terbabit masih berada di kawasan perairan antarabangsa dan menunggu masa dan waktu yang sesuai sebelum cuba menceroboh masuk ke dalam negara ini.

“Faktor ada kenalan, ahli keluarga warga Rohingya yang sudah bertapak di Malaysia mungkin menjadi sebab mereka menghilangkan diri dari Aceh dan benar-benar ingin menuju ke Malaysia,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa Indonesia memaklumkan pelarian Rohingya yang hilang dari kem berkenaan dipercayai cuba diseludup ke Malaysia.

Pada masa ini, hanya 112 pelarian yang masih tinggal di kem berkenaan berbanding 400 orang etnik Rohingya yang tiba di negara itu antara Jun hingga September tahun lalu.

Setakat ini, pihak berkuasa Indonesia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak dapat mengesahkan kedudukan pelarian minoriti Islam dari Myanmar itu.

Kumpulan hak asasi menyalahkan kerajaan Indonesia yang mengurangkan kawalan keselamatan secara drastik di kem pelarian apabila etnik Rohingya diletakkan di bawah pemantauan UNHCR bulan lalu.