M Update, 10/2/2021 – “Malam tadi (kelmarin) saya mimpi didatangi seorang wanita berpakaian putih, bercahaya mengajak saya masuk Islam.
“Badannya, bajunya, mukanya berkelip-kelip, bersinar, dia cakap agar saya jangan risau, dia boleh tolong ajarkan (tentang Islam), lepas tu saya terbangun dan rasa macam tak percaya tetapi sangat gembira,” kata saudara baru, Lucy Nawi, 59, ketika ditemui di rumahnya di Tanah Merah Site C, Chuah di sini petang semalam.
Lucy berkata, mungkin kerana sebelum ini ketika waktu siang beliau memberitahu hasrat memeluk agama suci itu sudah lama ada kepada Ketua Muslimat PAS Port Dickson, Bashariah Shaari, yang mengunjunginya bagi menghantar bantuan barangan makanan harian.
“Sebaik saya melakukannya, terasa seperti sangat bahagia kerana akhirnya hasrat saya tercapai pada usia emas ini. Baru saya rasa bagaimana seronoknya seolah-olah baru dilahirkan,” kata nenek kepada dua cucu, Jhoshua Arifazul Akhbar, 13, dan adiknya Siti Madinatul Zulhaziah, 9.
Sebelum ini media pada 20 Julai tahun lalu, pernah menyiarkan kisah Lucy yang beragama Kristian tetapi menjaga dua cucunya yang beragama Islam. Dia berminat menggunakan nama ‘Aisyah’ seperti yang dicadangkan Yang Dipertua PAS Port Dickson, Ustaz Abdul Fatah Zakaria, sempena nama isteri Nabi Muhammad.
“Nama belum daftar secara rasmi lagi tetapi saya tertarik dengan nama Aishah seperti yang dicadangkan ustaz semalam. Mungkin juga dengan nama ini membuatkan saya lebih bersemangat. Dari dulu saya terfikir bagaimana dengan nasib dua cucu saya jika saya mati dulu kerana mereka tiada sesiapa dan andainya saya tidak Islam, tentu lebih menyukarkan mereka.
“Alhamdulillah, kedua cucu saya sangat gembira bila mendapat tahu saya ikhlas nak peluk Islam dan saya sangat bersyukur sudah muslim sekarang, dapatlah kami bertemu di akhirat nanti,” katanya yang berasal dari Sibu, Sarawak.
Lucy berkata, Islam bukan asing dalam keluarganya kerana selain dua cucu ini, abang dan dua adik perempuannya, terlebih dahulu memeluk Islam sejak puluhan tahun lagi. Sekarang saya rasa kehidupan makin tenang, yang penting cucu rasa selamat, mungkin atas doa mereka melembutkan hati saya menerima Islam.
Lucy tidak bekerja sejak 13 Januari tahun ini kerana kilang dobi tempatnya bekerja terpaksa membuang pekerja akibat pandemik COVID-19. Buat masa sekarang, beliau hanya menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan untuk kegunaan pendidikan dua cucu, manakala sewa rumah RM350 sebulan dilunaskan Baitulmal sehingga bulan Februari tahun ini.