M Update, 02/07/2021 – Kementerian Kewangan (MOF) pada Khamis mengumumkan bahawa Program Jaringan Prihatin akan dilanjutkan sehingga 31 Ogos 2021.
Semua penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) layak mendapatkan bantuan bagi perkhidmatan data internet atau pembelian peranti mudah alih melalui dua belas syarikat telekomunikasi yang mengambil bahagian dalam program tersebut.
Program bernilai RM3.5 bilion itu adalah sebuah inisiatif di bawah Belanjawan 2021 dan ditambahbaik di bawah pakej Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa), dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Mei 2021.
MOF dalam satu kenyataan berkata, setakat 22 Jun 2021, jumlah pendaftaran bagi program itu telah mencecah 2.8 juta dan lebih daripada 500 ribu penerima telah menerima peranti mudah alih baharu, secara keseluruhan hampir RM180 juta telah disalurkan kepada golongan B40 melalui program tersebut.
“Ini adalah untuk mengurangkan kos mendapatkan akses internet dan membantu melancarkan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi isi rumah yang mempunyai anak bersekolah, katanya.
Selaras dengan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 Fasa 1 dan juga tempoh rayuan bagi permohonan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), tarikh akhir pendaftaran dan penebusan untuk Program Jaringan Prihatin akan dilanjutkan selama sebulan, sehingga 31 Ogos 2021, kata MOF.
“Tempoh perlaksanaan program turut dilanjutkan sehingga 31 Ogos 2022. Lanjutan ini akan membolehkan pemohon BPR baharu untuk berdaftar dengan program Jaringan Prihatin,” katanya.
Permohonan untuk Jaringan Prihatin boleh dibuat dalam talian atau melalui aplikasi syarikat telekomunikasi yang mengambil bahagian, tambah Kementerian.
Jaringan Prihatin adalah kerjasama antara Kementerian Kewangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta 12 syarikat telekomunikasi di Malaysia iaitu Celcom, Digi, Maxis, Mcalls, redONE, speakOUT, Tune Talk, U Mobile, unifi Mobile, XOX Mobile, YES dan Yoodo.
Program ini diperkenalkan berdasarkan konsep keterangkuman dan langkah untuk memperkasakan rakyat Malaysia ke arah ekonomi digital, untuk memastikan tiada golongan yang akan tercicir. -Bernama