Wilayah Persekutuan Labuan menjadi wilayah pertama yang telah berjaya mencapai herd immunity hari ini setelah melengkapkan vaksin penuh kepada 80% atau 54800 penduduknya daripada 68500 penduduk dewasa yang layak dalam program PICK. Dan apa yang lebih membanggakan adalah Labuan berjaya mencapai herd immunity lebih awal dari tarikh yang dijangka iaitu pada 30 Julai 2021.
Menurut PICK, seramai 97.5% daripada penduduk dewasa di wilayah tersebut sudah pun melengkapkan sekurang-kurangnya 1 dos vaksin setakat ini. Program PICK di Labuan dimulakan pada 27 Februari 2021 dan dilancarkan oleh Senator Bashir Alias.
Sesungguhnya Labuan wajar menjadi contoh kepada negeri-negeri lain di Malaysia kerana walaupun Labuan telah merekodkan jangkitan varian Delta lebih awal dari negeri lain, namun pihak berkuasa, frontliner dan penduduk Labuan menunjukkan komitmen yang penuh untuk menyegerakan herd immunity terhadap penyakit yang membunuh ini. Labuan sebelum ini telah merekodkan 9608 kes Covid-19 dengan 146 kematian.
Menurut Pengarah Kesihatan Labuan, penduduk tempatan telah akur dengan realiti bahawa mereka harus hidup bersama-sama dengan Covid-19 maka cara terbaik dan paling selamat adalah dengan melengkapkan proses vaksinasi secepat mungkin. Rasanya itu adalah senjata Labuan menjadi wilayah pertama dalam negara untuk mencapai imuniti kelompok berbanding negeri lain.
Tahniah diucapkan kepada Labuan dan semoga kejayaan Labuan ini menjadi contoh kepada negeri dan wilayah lain untuk segera mempercepatkan proses vaksinasi rakyat di kala kes mencecah berbelas-belas ribu sejak dua menjak ni.Vaksinasi adalah selamat dan terbukti berkesan untuk melindungi kita semua daripada virus Covid-19.
**Artikel ini adalah pendapat individu dan tidak semestinya mewakili pendirian M-Update