M Update, 02/08/2021 – Vaksinasi secara jumpa terus atau “walk-in” buat warga emas kini diperluaskan ke seluruh negara bermula minggu hadapan.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata, ia bertujuan mencapai sasaran untuk sekurang-kurangnya lebih 40 peratus populasi warga dewasa bagi setiap negeri mendapat suntikan vaksin COVID-19.
“Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) telah membuat keputusan hari ini untuk memperluaskan kaedah “walk-in” khususnya bagi warga emas di seluruh negara bermula daripada minggu hadapan.
“Ada negeri-negeri yang telah mula dan ada negeri-negeri yang akan bersedia untuk menerima ‘walk-in’ untuk semua warga emas yang masih lagi belum menerima vaksin mereka di PPV yang ada di negeri-negeri,” katanya pada sidang media mingguan perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan hari ini.
Katanya, pengumuman lanjut akan dibuat oleh CITF negeri-negeri namun secara dasarnya CITF di peringkat persekutuan telah membuat keputusan dan memberikan kuasa kepada CITF negeri untuk memulakannya.
“Kita serah kepada negeri-negeri untuk membuat pengumuman tarikh perlaksanaan dan PPV yang akan menerima ‘walk-in’ untuk golongan warga emas.“Kita telah turunkan kuasa kepada CITF negeri untuk membuat pengumuman tentang inisiatif tersebut,” kata Khairy.
Selain itu jelasnya warga emas bagi seluruh warga Lembah Klang boleh terus hadir secara ‘walk-in’ ke mana-mana PPV yang ada untuk mendapatkan suntikan vaksin jika masih belum memperolehi suntikan.
Menurut Khairy, setakat ini program vaksinasi yang dijalankan di peringkat nasional secara keseluruhannya telah mencapai tahap 95 peratus bagi warga emas yang telah berdaftar di mana kesemua mereka telah mendapatkan suntikan vaksin. – Astro Awani