M Update, 02/09/2021 – Fasa endemik di Malaysia dijangka bermula pada akhir Oktober ini, dengan kadar imuniti kelompok diharap mencapai 80 peratus, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata, berkata ketika ini Labuan dan Sarawak sudah mencapai fasa endemik, selain negara lain yang kebanyakannya sudah beralih ke fasa itu dan pengenalan norma baharu untuk hidup dengan lebih sihat serta selamat. Katanya, rakyat juga perlu menerima hakikat sekalipun negara berjaya mengawal pandemik, semua pihak perlu menerima kenyataan akan tiba masanya nanti COVID-19 menjadi endemik.
Berikutan itu, semua pihak perlu mengambil langkah untuk hidup bersama virus, termasuk mengambil beberapa tindakan seperti perubahan kepada tingkah laku dan usaha mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) berterusan. Langkah ini akan membolehkan pelbagai sektor dalam negara dibuka dan kehidupan penduduk negara ini dapat kembali berfungsi seperti sedia kala dalam norma baharu.
Kerajaan akan umumkan beberapa langkah untuk memudahkan SOP sedia ada supaya tidak terlalu banyak dan rumit. Sebagai persediaan untuk hidup bersama COVID-19, tindakan berikut perlu dilakukan oleh seluruh masyarakat iaitu mengamalkan norma baharu. Pemakaian pelitup muka akan diteruskan dan Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mempunyai perancangan untuk melonggarkan keperluan pemakaian pelitup muka,” katanya pada sidang media pertamanya semalam.
Khairy berkata, kementerian itu mengambil iktibar terhadap kelonggaran terhadap pemakaian pelitup muka yang diberikan di sesetengah negara yang kemudiannya terpaksa dilaksanakan semula selepas berlaku penularan varian baharu.
“Semua pihak perlu mengamalkan kuarantin kendiri di rumah dengan penuh bertanggungjawab sekiranya dikenal pasti di aplikasi MySejahtera sebagai kontak kasual, individu dalam pemantauan (PUS), kes suspek atau kes yang disahkan selepas menjalani ujian saringan COVID-19 sehingga keputusan ujian diketahui.
“Selain itu, dikenal pasti sebagai kontak rapat dan masih menunggu panggilan daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan dikesan positif COVID-19 serta sedang menunggu panggilan PKD,” katanya.
Beliau berkata, mereka perlu kekal tinggal di rumah melainkan memerlukan rawatan perubatan kecemasan.
“Bagi individu yang dikesan positif COVID-19, mereka perlu menjalani pemeriksaan segera jika mengalami kemerosotan gejala seperti demam berpanjangan; kesukaran bernafas; sakit dada; tiada selera makan dan minum. Kelesuan bertambah teruk; perubahan pada status mental seperti kurang tahap sedar dan kekeliruan; batuk, muntah dan cirit yang semakin teruk; kurang kencing; bibir atau jari kebiruan dan ketepuan oksigen kurang 95 peratus.
Mereka yang mengalami gejala ini dinasihatkan menghubungi Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) dengan kadar segera atau talian 999 untuk kecemasan,” katanya. – BH Online