M Update, 20/01/2022- Aplikasi MySejahtera membabitkan lebih 1,000 orang yang pernah mendapatkan perkhidmatan doktor swasta yang terbabit dalam penjualan sijil vaksinasi COVID-19 dipercayai palsu di Marang, sudah disekat.
Keterangan beberapa individu yang statusnya MySejahtera dikemas kini sebagai penerima vaksin tetapi tidak menerima suntikan sudah diambil. Hasil siasatan mendapati status sebagai penerima MySejahtera mereka adalah palsu. Siasatan juga mendapati ada di antara mereka ini memaklumkan diajar kononnya ada mengambil suntikan tetapi sebenarnya adalah suntikan air suling atau garam.
Sekatan dibuat bagi membolehkan KKM menjalankan siasatan terhadap aplikasi MySejahtera mereka untuk mengesahkan ketulenan status vaksinasi masing-masing. Berdasarkan siasatan mendapati ada kira-kira 1,900 orang mendapatkan perkhidmatan dengan klinik berkenaan dengan 1,223 pemohonan sudah dihantar ke vendor untuk dikemas kini status sebagai penerima vaksin dalam aplikasi MySejahtera. Kesemua aplikasi MySejahtera yang berasal daripada klinik berkenaan sudah disekat KKM.
Sebelum ini Polis Terengganu membongkarkan kegiatan penjualan sijil vaksinasi Covid-19 dipercayai palsu dengan merampas hampir 100 keping kad peringatan (temu janji) vaksinasi dan menahan seorang doktor swasta yang juga suspek utama berusia 51 tahun.